KEADAAN mayat Aishah yang maut selepas terlanggar seekor babi melintas di Jalan Jenun-Pokok Tai, semalam.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Nur Syazwana Mansor


Alor Setar: “Biasanya saya akan berpesan supaya dia berhati-hati ketika menunggang motosikal, tetapi hari ini (semalam) isteri pula yang berbuat sedemikian menyebabkan saya tidak menyangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Daud Mat, 58, suami Aishah Mat, 48, yang maut selepas motosikal Honda Wave ditungganginya terbabas selepas melanggar seekor babi hutan melintas di Jalan Jenun-Pokok Tai, Pendang, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di Kolej Matrikulasi Pendang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Daud berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri keluar dari rumah mereka di Kampung Lubok Ular, Pendang, kira-kira jam 7 pagi.

“Saya bekerja sebagai tukang cuci di Madrasah Tahfiz Imam Sawa, Pendang keluar bersama isteri sebelum menuju lokasi berlainan dan sebaik tiba di tempat kerja saya menerima panggilan telefon memaklumkan arwah terbabit kemalangan.

“Ketika itu saya masih tidak tahu dia terlanggar babi hutan sebelum bergegas ke lokasi kejadian terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah sebelum mendapati arwah sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Menurutnya, arwah cedera parah di kepala manakala badannya tiada kesan luka atau patah.

“Saya reda dengan kejadian yang berlaku. Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan melayan saya dan anak seperti biasa. Cuma pesannya supaya saya menunggang motosikal dengan baik, itu yang sedikit pelik kerana biasanya saya yang berpesan kepadanya,” katanya.

Mangsa meninggalkan tiga anak berusia 18 hingga 27 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Setol, Pendang.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terlanggar seekor babi hutan melintas.

“Akibat kejadian itu, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkannya terbabas lalu tercampak di tengah jalan dan cedera parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian, malah haiwan dilanggar mangsa turut ditemui mati di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:28 AM