MAYAT dua daripada tiga mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat diletak di tepi jalan.
Oleh Harun Yahya dan Pretty Licha


Bintulu: Tiga sekeluarga maut termasuk seorang daripadanya putus kepala apabila Toyota Vios dinaiki bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan di Kilometer 114, Jalan Sibu-Bintulu berhampiran Tatau di sini, jam 2 petang semalam.

Mangsa yang maut berasal dari Miri dan dikenali sebagai Ferrihow Kadri, 31, Anthony Kadri, 24, serta Na-uyah Pusih, 63.

Pemandu lori, Joseph Ngau, 46, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Sibu ke Samalaju di Bintulu.

“Tiba di lokasi kejadian, saya lihat Toyota Vios berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan berat yang saya pandu.

“Saya keluar daripada lori untuk memeriksa keadaan dan mendapati kereta terbabit terperosok di bawah kenderaan berat ini manakala ketiga-tiga mangsa sudah mati,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau Azrel Izaidi Ahmad berkata, sebuah jentera dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 2.10 petang.

“Kami dapati ketiga-tiga mangsa tersepit di tempat duduk depan serta belakang kereta berkenaan.

“Mayat Anthony dan Na-uyah dikeluarkan jam 3 petang manakala mayat Ferrihow yang juga pemandu kereta terbabit dikeluarkan sejam setengah kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kemalangan terbabit dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:43 AM