Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Jual sepucuk pistol model SIG SAUER P226 pada harga RM1,600 dan senapang Rifel MP4 pada harga RM2,000 seunit lengkap dengan 1,000 peluru besi.

Ternyata walaupun harganya meningkat hampir dua kali ganda, namun masih ramai individu dikesan menjual pistol atau senapang angin itu melalui urus niaga pasaran gelap.

Malah, kebanyakan senjata berbahaya itu kelihatan 100 peratus menyamai senjata api tulen didapati masih mendapat permintaan tinggi pembeli sama ada sebagai koleksi atau untuk tujuan jenayah.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati kegiatan promosi dan penjualan senjata api palsu buatan Taiwan itu masih berleluasa dan dilakukan melalui laman sosial Wechat.

Golongan peniaga terbabit dikesan aktif memuat naik gambar senjata itu di laman sosial bagi menarik minat pelanggan walaupun harga ditawarkan amat mahal.

Malah, sebagai langkah keselamatan gambar senjata api yang dimuat naik itu hanya boleh dilihat kenalan mereka sahaja.

Wartawan Harian Metro menyamar sebagai pembeli ditawarkan pelbagai model senjata pistol dan rifel membabitkan model antaranya Glock, Beretta, Sig Sauer, M92F dan Smith & Wesson pada harga serendah RM800.

Selain itu, wartawan ditawarkan Rifel AK47, Winchester MP4, SVD Spring Rifel dan pelbagai senjata berat lain yang diperbuat dari besi menyerupai model senjata api sebenar.

Pihak menjual senjata angin ini turut menawarkan jualan 1,000 biji peluru besi pada harga RM150 selain tin berisi gas menembak pada harga antara RM150 hingga RM170 sebotol.

Difahamkan pelanggan boleh membuat pembayaran atas talian untuk penghantaran secara kurier atau boleh memilih pembayaran ketika penghantaran terus ke lokasi yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya mengaku masih wujud kegiatan menjual senjata angin dan pistol tiruan yang menyalahi peraturan.

Katanya, ada individu masih berdegil dan berani menjual senjata api tiruan ini walaupun menyedari boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Senjata 1960.

“Menjadi kesalahan memiliki senjata menyerupai senjata tulen berikutan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

“Jadi sekiranya didapati menjual senjata tiruan ini maka hukumannya cukup berat. Suspek menjual senjata ini melalui laman sosial turut boleh dijejaki dan diberkas,” katanya.

Zainuddin turut menasihatkan supaya orang awam tidak sewenang-wenangnya memiliki dan menjual senjata tiruan tanpa kebenaran.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan senjata tiruan terbabit menyalurkan kepada polis.

“Menerusi medium apa pun digunakan untuk memasarkan senjata tiruan terbabit, polis akan mengambil tindakan sewajarnya kerana kegiatan itu boleh menyumbang kepada jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:53 AM