ZAHARAH ketika pelancaran #TANAHAIRKU di Galeri PETRONAS, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: PETRONAS menghargai bakat seni golongan muda dalam menyatukan rakyat Malaysia melalui iklan yang dihasilkan syarikat berkenaan sepanjang 20 tahun lalu dengan kempen #tanahairku.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS Zaharah Abdul Rahman berkata, sepanjang kempen ini, satu pameran diadakan di Galeri PETRONAS, KLCC mulai semalam hingga 7 Februari depan.

Katanya, usaha ini sebagai satu langkah syarikat dalam menggalakkan golongan muda terus bergiat aktif dalam seni.

“Usaha yang dilakukan ini disebabkan oleh golongan muda mempamerkan rasa sayang terhadap negara melalui hasil seni seperti di Art Street.

“Oleh itu, orang ramai boleh melihat hasil seni generasi muda tempatan ini sepanjang kempen berkenaan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran #tanahairku: Dua dekad menyemai Perpaduan Nasional di Galeri PETRONAS, KLCC, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Galeri PETRONAS, Rosli A Rahim dan Pengarah Pengurusan Kempen Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS Fitri Mydin.

Menurutnya, PETRONAS adalah organisasi yang menerbitkan iklan bagi semua perayaan berbilang kaum dan budaya di Malaysia.

“PETRONAS sentiasa berhasrat untuk membantu menyemai dan menghidupkan nilai-nilai asas dalam pelbagai tradisi dan warisan budaya yang dikongsi bersama dan menyatupadukan semua rakyat Malaysia dengan latar belakang yang berlainan.

“Iklan musim perayaan PETRONAS menggambarkan kekuatan semangat dan identiti rakyat Malaysia yang unik dalam mempromosikan perpaduan, yang tidak terbatas oleh sempadan perkauman dan keagamaan,” katanya.

Zaharah berkata, #tanahairku bukan hanya satu slogan atau ungkapan menarik tapi ia menunjukkan perasaan cinta dan penghargaan kepada negara kita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:05 AM