Dhanaletchumy bersama anaknya Somanravi yang menghidap kanser hidung.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Biarpun rupanya berubah ketara selepas menghidap barah, namun dia masih sempurna di mata saya serta seorang anak berhati mulia,” kata S Dhanaletchumy, 36, ibu kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang menghidap kanser hidungsejak empat tahun lalu.

Dhanaletchumy berkata, R Somanravi yang juga anak keempat daripada tujuh beradik itu kerap menjadi perhatian ramai apabila dibawa keluar dari rumah mereka berikutan benjolan besar di pipinya yang mencecah 10 sentimeter sehingga ke bahagian mata kanan.

Katanya, Somanravi juga terpaksa bergerak dengan bantuan ahli keluarga memandangkan penglihatannya semakin terbatas.

“Somanravi disahkan menghidap barah hidung tahap kedua pada awal 2012 mengakibatkan saraf matanya rosak.

“Dia kini hilang penglihatan pada mata kanan manakala 20 peratus pada mata kiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Blok A2 Kenari, Jalan Pulai Harmoni 3, Bandar Baru Kangkar Pulai, semalam.

Menurutnya, berikutan keadaannya itu, doktor mengesahkan Somanravi boleh menjalani pembedahan, namun peluangnya untuk hidup 50-50 dan mereka tidak sanggup berdepan dengan risiko berkenaan.

Menurutnya, berat badannya juga turun secara mendadak hingga 21 kilogram akibat penyakit dialaminya itu.

Katanya, doktor mengesyorkan keluarganya untuk menyediakan bekalan susu tepung khas kepada Somanravi, namun pihaknya tidak mampu membelinya.

“Saya menggalas tanggungjawab menyara keluarga dengan bekerja sebagai tukang sapu di sekolah dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Saya juga perlu membayar sewa rumah RM250 dan menyara empat anak yang masih bersekolah,” katanya.

Dhanaletchumy berkata, suaminya, M Ramakrishnan meninggal dunia akibat radang apendiks 10 tahun lalu.

Menurutnya, dia bersyukur apabila bebannya bertambah ringan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Orang ramai yang ingin membantu Somanravi boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Dhanaletchumy di nombor 01100290- 00748238.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:22 AM