Ahmad Rabiul Zulkifli
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Kes demam denggi yang meningkat hingga meragut tiga nyawa sejak awal tahun ini di Terengganu mendatangkan kebimbangan kepada penduduk.

Disebalik peningkatan kes yang dilaporkan di negeri ini, ia mengundang rezeki pula kepada seorang peniaga, Khairi Shahdan, 30, apabila pokok yang dikenali sebagai pokok cermin, jeremin, jari lima atau lebih popular dengan panggilan pokok halau nyamuk laris berbanding sebelum ini.

Ia didakwa mujarab untuk menghalau pelbagai jenis nyamuk termasuk aedes sekali gus menjadi pilihan orang ramai sebagai langkah alternatif untuk pencegahan denggi.

Khairi berkata, pokok berkenaan yang dijual di gerai pokok bunganya mendapat sambutan luar biasa sejak berlaku peningkatan kes denggi di negeri ini.

“Pokok halau nyamuk ini saya jual dengan harga RM10 hingga RM15 dan mendapat sambutan hangat, malah bekalannya tidak mencukupi kerana orang ramai sendiri mengakui ia berkesan untuk mengurangkan kehadiran nyamuk di kediaman mereka.

“Difahamkan, pokok ini memang digunakan sebagai cara tradisional oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk menghalau nyamuk sebelum kewujudan ubat nyamuk,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Wakaf Tengah, di sini, semalam.

Nama botani tumbuhan itu adalah pelargonium radula dan akan mengeluarkan bau yang kuat seakan penyembur serangga sekiranya daunnya disentuh.

Khairi berkata, pokok itu tidak sukar untuk dijaga dan tidak perlu memberi perhatian khusus seperti pokok hiasan lain.

“Hanya letakkannya di dalam pasu dan perlu disiram dua kali seminggu selain mendedahkannya kepada cahaya matahari sekali sehari sudah memadai bagi memastikan ia terus hidup.

“Istimewa pokok ini berbanding pokok hiasan lain kerana ia mengeluarkan sejenis bau yang unik dan diyakini mampu menghalau nyamuk yang berada di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 50 pokok itu sudah habis dijual dalam masa dua hari dan dia akan menambah bekalannya dalam masa terdekat.

“Saya akan menambah jumlah pokok itu dalam masa terdekat dan menjualnya dengan pelbagai harga bergantung kepada saiz bagi memastikan semua pelanggan mampu memilikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 7:50 AM