KWSP permudah proses penamaan tanpa menjejaskan risiko pembayaran simpanan kepada waris.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nor’ Asyikin Md Hayin
asmaini@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sehingga akhir tahun lalu, 10.9 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini tidak membuat penamaan.

Jumlah itu bersamaan 75.2 peratus daripada keseluruhan 14.5 juta ahli berdaftar dengan agensi berkanun berkenaan dan membabitkan nilai simpanan yang besar iaitu RM232.7 bilion.

Ketua Jabatan Pendaftaran dan Operasi Sokongan KWSP Tengku Roshani Tengku Embung berkata, ada tiga faktor utama mengapa pencarum tidak membuat penamaan iaitu kerana ingin membahagikan harta simpanannya mengikut faraid manakala bagi yang bukan beragama Islam kemungkinan mahu mengagihkan berdasarkan surat kuasa mentadbir.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan masih ramai ahli tidak mendapat maklumat mengenai isu ini menyebabkan mereka gagal berbuat demikian.

“Selain itu, mungkin ada dalam kalangan ahli berasakan tiada keperluan berbuat demikian (membuat penama) memandangkan proses pengeluaran kematian terkini tidak mengambil masa lama selain mudah bagi waris menuntut simpanan ahli apabila ahli meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Muka depan akhbar ini semalam melaporkan sikap ambil mudah serta tidak tahu proses menyebabkan lebih RM60 bilion harta rakyat Malaysia tidak dituntut pewaris dan ‘beku’ dalam akaun beberapa agensi kerajaan berkaitan pengurusan wang simpanan dan harta.

Ia membabitkan harta jenis tak alih (tanah dan rumah) serta harta alih (wang tunai, saham, kenderaan) yang tersimpan sejak puluhan tahun di Amanah Raya Berhad, Tabung Haji, KWSP serta Pejabat Tanah dan Daerah.

Menurut Tengku Roshani, sekiranya wang caruman itu tidak dituntut, ia disimpan di KWSP sehingga ahli mencapai umur 100 tahun (mengikut rekod) dan i dipindahkan ke Pendaftar Wang Tidak diTuntut.

“Setakat ini, tiada kes tuntutan tertunggak kerana permohonan pengeluaran ahli tanpa penamaan akan diproses berdasarkan Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet, Perintah Pembahagian, Sijil Faraid atau bayaran dibuat kepada waris yang berhak menerima pusaka ahli mengikut Akta KWSP,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya terus meningkatkan kempen, iklan, promosi dan aktiviti bagi memberi penjelasan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman ahli untuk membuat penamaan.

Katanya, perkara ditekan dalam program kesedaran berkenaan mengenai faedah kepada waris sekiranya berlaku kematian ahli.

“KWSP akan mempermudahkan proses membuat penamaan tanpa menjejaskan risiko pembayaran simpanan kepada waris,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 10:39 AM