Mohd Sakri (dua dari kanan) menunjukkan sijil cuti sakit palsu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Oleh Ayusliza Azizan


Shah Alam: Rasa curiga majikan sebuah syarikat swasta terhadap sijil cuti sakit selama 14 hari diberikan pekerjanya membongkar sindiket pemalsuan dokumen berkenaan.

Difahamkan syarikat itu sebelum ini menerima sijil cuti sakit berkenaan yang didakwa dikeluarkan sebuah hospital kerajaan.

Bagaimanapun majikan syarikat itu terkejut selepas pengurusan hospital berkenaan menafikan ada mengeluarkan sijil cuti sakit terbabit sebelum laporan polis dibuat.

Pihak polis kemudian menjalankan siasatan sebelum sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang terbabit dalam sindiket memalsukan sijil cuti sakit ditahan dalam dua serbuan berasingan Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, tiga suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu didapati menjual dokumen berkenaan kepada orang tertentu saja pada harga antara RM30 hingga RM100 sekeping.

“Berdasarkan laporan, polis menahan suami isteri berkenaan di kediamannya di Dengkil jam 12 tengah hari manakala seorang lelaki dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan empat jam kemudian di pangsapuri di Gombak pada hari sama.

“Polis turut merampas lebih 600 sijil cuti sakit palsu, resit hospital bersama slip masa bagi mengaburi pihak majikan,” katanya.

Mohd Sakri berkata, dalang sindiket itu bertindak membekalkan dokumen palsu berkenaan yang lengkap dicop berserta tanda tangan oleh doktor yang kini bertugas di hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang manakala suami isteri itu bertindak sebagai ejen.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu dan hanya menawarkan sijil cuti sakit palsu yang dikeluarkan oleh hospital kerajaan saja.

Katanya, polis percaya sindiket menjual dokumen sakit palsu berkenaan mendapat sambutan daripada orang ramai yang mengetahuinya.

Menurutnya, pihaknya kini giat memburu beberapa sindiket yang melakukan kegiatan sama bagi membanteras jenayah itu habis-habisan.

“Semua suspek ditahan reman sehingga 17 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 468 dan 472 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan dokumen cuti sakit dan memalsukan dokumen yang mempunyai cagaran berharga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:35 AM