ASRAMA pelajar sekolah agama di Kampung Dato’ Haji Ahmad Rozali terbakar, malam tadi.

Dengkil: Sebuah asrama pelajar sekolah agama pondok di Kampung Dato’ Haji Ahmad Rozali, Dengkil di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, asrama pelajar berkeluasan 93 meter persegi yang terletak di tingkat satu bangunan dua tingkat musnah seratus peratus.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Cyberjaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu selain turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9 malam sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Tiga pegawai dan 13 anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:47 AM