Sabri (tengah) bersalam bersama kakitangan kementeriannya ketika hadir di Perhimpunan Bulanan KKLW 2016 di Putrajaya, semalam.
Sabri (tengah) bersalam bersama kakitangan kementeriannya ketika hadir di Perhimpunan Bulanan KKLW 2016 di Putrajaya, semalam.
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menjelaskan bahawa pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelak tidak akan menjejaskan projek pembangunan di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya akan menilai segala aspek sebelum melaksanakan langkah penjimatan termasuk mengurangkan kos dalam pentadbiran, pengurusan serta lawatan ke luar negara.

Beliau berkata, sebelum ini, kementerian menerima peruntukan RM10.83 bilion dengan sebahagiannya akan digunakan untuk membangunkan modal insan serta menambah baik infrastruktur kawasan luar bandar.

“Apa yang sudah dijanjikan untuk rakyat tidak mungkin dibatalkan kerana mereka sudah menunggu kawasan terbabit untuk dinaik taraf.

“Dalam langkah penjimatan itu, sekiranya perlu pergi ke luar negara, kita akan menyerahkan tugas atau tanggungjawab itu kepada pegawai kementerian yang memang bertugas di negara terbabit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Arif Ab Rahim.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, Mara Digital yang baru sebulan beroperasi mencapai nilai jualan sebanyak RM1.7 juta, sekali gus membuktikan pusat jualan yang menjual gajet serta produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Nilai jualan berkenaan secara tidak langsung berjaya membuktikan bahawa Mara Digital meletakkan harga produk mengikut pasaran setaraf dengan pusat penjualan produk ICT yang terkenal.

“Kementerian juga akan membuka dua lagi Mara Digital selewat-lewatnya Jun ini di Anggerik Mall, Shah Alam serta Glomac Mall, Damansara.

“Pembukaan dua pusat digital ini berikutan maklum balas baik yang diterima oleh pihak kementerian daripada orang ramai,” katanya.

Katanya, kementerian turut menyambut baik cadangan pihak mana-mana negeri di seluruh Malaysia untuk membuka Mara Digital di negeri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:08 AM