KAMALIA bersama Chang di Mahkamah Sesyen Tawau.

Tawau: Seorang Timbalan Pendakwa Raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM40,000 untuk menarik balik kes pergaduhan pasangan suami isteri pada tahun lalu.

Kamalia Yahdi, 33, yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Cawangan Tawau didakwa meminta suapan wang tunai RM50,000 daripada dua individu sebagai dorongan menarik balik kes dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau di Hotel Promenade Tawau, kira-kira jam 5 petang pada 15 Mei 2015.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, Kamalia didakwa menerima wang suapan RM40,000 daripada dua individu sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung dengan urusan hal ehwal prinsipal tertuduh di lokasi sama pada jam 9 malam, 20 Mei 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Chang Voon Kiat, 45, yang menjadi perantara tertuduh pertama untuk meminta dan menerima suapan wang tunai RM40,000, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:20 AM