MUHAMMAD Faez dan Mohamad Fazrul mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi lelaki dengan cara menanam mayatnya.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: “Tindakan kamu (menyembunyi kelahiran dan menanam bayi) sangat mendukacitakan. Hukuman ini sebagai pengajaran terhadap kamu.

“Saya tidak tahu di mana silapnya, tapi tindakan kamu salah di sisi agama, masyarakat dan nilai moral.” kata Majistret Siti Khairiah Abdul Razak sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 terhadap dua beradik lelaki selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi lelaki dengan cara menanam mayatnya, dua minggu lalu.

Dua beradik terbabit Muhammad Faez Mohd Fuzi, 24, dan Mohamad Fazrul, 21, serta seorang wanita Nurul Atikha Abu Zarin, 26, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap pertuduhan terbabit.

Bagaimanapun, Nurul Atikha yang masih berpantang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kurung dan berstokin hitam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sengaja menyembunyikan kelahiran bayi dengan mengebumikan mayat sama ada bayi itu mati sebelum, selepas atau masa dilahirkan.

Perbuatan itu dilakukan di Flat Taman Semarak, Nilai, dekat sini, pada 9 Januari lalu, kira-kira jam 6 petang.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita menghubungi bapa Nurul Atikha memberitahu anak perempuannya melahirkan bayi dan meninggal dunia dalam perut. Bagaimanapun, kelahiran bayi berkenaan diuruskan sendiri teman lelakinya.

Berikutan itu, polis menahan suspek dan mereka semua mengaku menanam mayat bayi dalam lubang tepi rumahnya di Kampung Selaru, Dangi, Kuala Pilah.

Siasatan di lokasi menemui mayat bayi cukup sifat yang dibalut kain dan ditanam teman lelaki mangsa bersama adik lelakinya menggunakan cangkul.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Mohd Pisol manakala dua beradik itu diwakili Iwana Sakinah Mohd Lajis dan Nurul Atikha diwakili Maanor Yusoff.

Sementara itu, mahkamah membenarkan Nurul Atikha diikat jamin RM3,200 dan menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro pada 13 Januari lalu, melaporkan dua beradik dan seorang wanita bersekongkol menanam mayat bayi dalam belukar di Kampung Selaru, Dangi, Kuala Pilah.

Perbuatan mereka diketahui keluarga sebelum sepasukan polis menerima laporan bertindak menahan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:21 AM