RAZIAH bersama anak-anak di rumahnya di Kampung Pengkalan Cicar, Kemaman.

Chukai: Walaupun hanya ‘goyang kaki’, seorang ibu tunggal dari Kampung Pengkalan Cicar, di sini, mampu membesarkan empat anak yang kini berusia 13 hingga 26 tahun.

Bagaimanapun, goyang kaki yang dimaksudkan bukanlah tidak berbuat apa-apa, sebaliknya wanita berkenaan, Raziah Embong, 48, menyara kehidupannya sekeluarga dengan mengambil upah menjahit langsir.

“Ramai kenalan dan pelanggan gelar saya kerja goyang kaki kerana ketika mula-mula mengambil upah menjahit kira-kira 21 tahun lalu, mesin jahit perlu menggunakan kaki.

“Ketika di awal pembabitan mengambil upah jahit langsir, saya masih ada suami tapi tetap bekerja keras menjahit langsir bagi menambah pendapatan keluarga.

“Sejak awal perkahwinan hingga berpisah dengan suami kira-kira empat tahun lalu, saya mengambil upah menjahit langsir bagi membesarkan anak-anak, apatah lagi bekas suami tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya mengambil upah menjahit langsir sejak berusia 27 tahun dan pada waktu itu saya menggunakan mesin jahit biasa dengan menggoyangkan kaki bagi menggerakkan kerana tidak mampu menggunakan mesin jahit motor elektrik kerana harganya mahal,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu bidang jahitan membantunya menyara kehidupan keluarga terutamanya selepas rumah tangganya berkecai.

Kini, bebannya semakin ringan dan mampu menarik nafas lega apabila tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan sudah bekerja dan hanya tinggal bongsu, Muhammad Fhatiq Din, 13, masih bersekolah.

“Bidang jahitan banyak membantu saya mencari rezeki dan saya sendiri tidak kisah apa orang mahu gelar termasuk kerja goyang kaki kerana yang penting hasil penat lelah ini mampu membantu membesarkan anak- anak.

“Walaupun tiga anak bekerja dan tinggal bersama, saya masih meneruskan kerja menjahit langsir,” katanya.

Menurutnya, hidup sebagai ibu tunggal sangat besar cabarannya kerana terpaksa menerima bermacam tohmahan dan pandangan negatif masyarakat.

“Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat dan saya tetap tabah berusaha untuk meneruskan kehidupannya bersama anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:32 AM