Nelayan menjala ikan di pesisir Pantai Batu Hitam.

Kuantan: Penduduk khususnya peniaga dan nelayan di sekitar Pantai Balok, di sini, yang sebelum ini terjejas akibat fenomena laut merah kesan aktiviti perlombongan bauksit mendapat ‘nafas’ baru apabila keadaan kembali normal.

Mereka tidak lagi diganggu kejadian ‘laut merah’, malah ketika tinjauan dilakukan, air laut hijau kebiruan seperti sediakala.

Kelihatan juga beberapa nelayan memukat dan menjala ikan, ada juga berada di atas sampan, malah tidak kurang ada yang mencari remis di pesisir pantai berkenaan.

Peniaga di Pantai Batu Hitam Shahril Hamzah, 33, berkata, air laut di kawasan berkenaan kelihatan ‘cerah’ sejak empat hari lalu, sekali gus menarik tumpuan orang ramai.

“Sebelum ini hujan lebat menyebabkan air laut menjadi merah, namun kini keadaan pulih apabila tempoh penangguhan aktiviti bauksit selama tiga bulan dilaksanakan.

“Selepas aktiviti bauksit dihentikan, pengunjung boleh mandi-manda di pantai ini tidak seperti dulu,” kata peniaga minuman dan makanan, di sini, semalam.

Shahril berkata, dia gembira dengan keadaan itu, sekali gus merancakkan aktiviti di pantai dan memberikan pulangan kepada peniaga di kawasan itu.

Sementara itu, peniaga ikan di Jeti Nelayan Balok Kamal Ramli, 36, berkata, keadaan air laut yang kembali pulih itu membolehkan nelayan menangkap ikan berhampiran pantai.

“Sebelum ini kami menangkap ikan sejauh satu hingga dua batu nautika dari pantai semata-mata mencari kawasan selamat dan tidak tercemar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 6:54 AM