MOHD Norizan (empat kanan) menyerahkan komputer kepada Suhaimi Said (Enam Kiri) dalam program Khidmat Komuniti (CSR) oleh NSTP.
Oleh Nazdy Harun


Hulu Terengganu: “Syukur program sumbangan komputer seperti ini kali pertama diadakan di sekolah ini oleh syarikat korporat bagi kemudahan murid dan guru menjalani sesi pembelajaran,” kata Suhaimi Said, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Diman, di sini, semalam.

Menurutnya, komputer sumbangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) sangat berguna terutamanya kepada murid dalam menambah ilmu berkaitan Teknologi Maklumat (IT) untuk pembelajaran seharian mereka.

Katanya, pihaknya sangat berbesar hati apabila dimaklumkan bakal menerima tiga unit komputer sumbangan daripada NSTP kerana ia sangat diperlukan bagi setiap sekolah walaupun mempunyai komputer dibekalkan kerajaan.

“Ini kali pertama syarikat menyumbang komputer kepada sekolah ini dan ia langkah terbaik dalam mendidik murid untuk terus menguasai bidang IT pada usia muda,” katanya.

Guru Besar SK Bukit Apit Mohd Zaki Husain pula berkata, tiga unit komputer disumbangkan NSTP ditempatkan dalam kelas murid prasekolah di sekolah berkenaan.

“Sebelum ini murid prasekolah dibawa ke makmal komputer sekali dalam masa seminggu atau dua minggu dengan adanya komputer ini ia dapat digunakan sepanjang masa oleh murid berkenaan.

“Seramai 25 murid prasekolah berada di sekolah ini menerima manfaat hasil daripada sumbangan dihulurkan NSTP,” katanya ketika ditemui pada Program Pengagihan Komputer Kepada Sekolah dan Masjid di Terengganu.

Bagi Guru Besar SK Padang Setar Abdul Rahman Mamat berkata, satu daripada tiga unit komputer disumbangkan itu ditempatkan di bilik guru bertujuan memudahkan guru mencari bahan pengajaran mereka.

“Selebihnya pula ditempatkan di bilik murid prasekolah dan makmal untuk digunakan bersama dan ia memudahkan terutamanya murid dalam mendalami ilmu berkaitan IT.

“Dengan adanya komputer ini menjadikan sesi pembelajaran dapat dijalankan secara interaktif dalam kelas murid prasekolah itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Berita NSTP Ajil Mohd Norizan Ambak berkata, sumbangan itu program tanggungjawab korporat syarikat dan agihan sumbangan dibuat kepada sekolah serta masjid terpilih di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:44 AM