HOMECOMING Fiesta bersempena Majlis Konvokesyen MSU ke-18.

Kuala Lumpur: Pembangunan Pusat Perubatan dan Perkampungan Pelajar Management & Science University (MSU) yang dijangka siap sepenuhnya September ini bakal memacu institusi pendidikan berkenaan berlandaskan Pelan Strategik 10 tahun (2011-2020).

Dalam satu kenyataan, pembangunan itu merangkumi pengalaman pembelajaran menyeluruh menerusi enam teras utama iaitu pengalaman pembelajaran pelajar, sistem penyampaian pembelajaran, persekitaran pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pengantarabangsaan serta kampus mesra alam.

“MSU berhasrat melahirkan graduan yang kompeten serta dilengkapi kemahiran insaniah yang terbukti keberkesanannya apabila 98.3 peratus graduan MSU mendapat pekerjaan di pelbagai organisasi kerajaan dan swasta dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi.

“Bukan itu saja, MSU menganjurkan Homecoming Fiesta 2016 bermula 19 Januari lalu sempena majlis konvokesyen sebagai bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan dengan penganjuran pelbagai aktiviti termasuk akademik, pertandingan, keusahawanan, kebudayaan serta pameran,” katanya.

Antara acara yang dianjurkan termasuk Pelancaran International Mobility Programme, Pelancaran President List Club (PLC), President List Club, Apprentice Challenge, Aerodance, International Cultural Fiesta, Entrepreneur Village (e-Village), pertandingan Busking, Hippocratic Oath, How Do I Look, bazar keusahawanan dan makanan serta pelepasan kontingen MSU yang bakal menyertai Sukan lnstitusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) 2016.

Kemuncak Homecoming Fiesta ialah istiadat Majlis Konvokesyen ke-18 yang akan dihadiri Canselor MSU Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Majlis bersejarah ini akan menyaksikan graduan menerima ijazah masing-masing bagi peringkat doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma.

Antara graduan cemerlang yang bakal bergraduasi ialah Arfan Rehman Sherief daripada Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan Kepujian dan Amalina Nai‘mah Atan Hamdan daripada Diploma Pengurusan Pelaburan.

Majlis konvokesyen ini adalah pengalaman bermakna bagi mereka kerana menjadi titik penamat kepada segala pengorbanan sepanjang tempoh pengajian di MSU.

Baginda Raja Permaisuri Agung Tuanku Hajah Haminah turut menyampaikan skrol kepada graduan pada majlis itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:51 AM