CHONG (kiri) menyampaikan replika cek kepada Yeo.
Oleh Ayusliza Azizan

Klang: Pengendali farmasi komuniti ketiga terbesar Malaysia, Farmasi CARiNG menyalurkan sumbangan RM25,000 bagi membantu mengurangkan beban kos penyelenggaraan dan perkhidmatan mesin hemodialisis.

Sumbangan berkenaan disalurkan kepada Pusat Hemodialisis Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS) dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia.

Sumbangan ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Farmasi CARiNG.

Pengarah Urusannya, YS Chong berkata, kos diperlukan bagi menyelenggara seunit mesin hemodialisis ialah RM1,000 dan pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat mengurangkan beban yang ditanggung pusat hemodialisis berkenaan.

“Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk mengekalkan perkhidmatan 230 unit mesin dialisis di 17 pusat hemodialisis dikendalikan St John Ambulans Malaysia.

“Manakala Pusat Hemodialisis SJAM-KPS, ia dilengkapi sekurang-kurangnya 17 unit mesin dialisis dan digunakan untuk merawat 68 pesakit buah pinggang sehari,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Replika Cek kepada St John Ambulans Malaysia di SJAM-KPS Pusat Hemodialisis Klang (Station 2), semalam.

Chong berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan kempen amal yang diadakan bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2015.

Beliau berkata, Farmasi CARiNG turut menyumbang RM2 bagi setiap pembelian produk bijirin serbuk minuman kesihatan bernutrisi GoodMorning Vplus 18 bagi satu kilogram serta tiga kilogram kepada pusat hemodialisis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SJAM-KPS Datuk Yeo Kim Thong berkata, pihaknya menyambut baik usaha Farmasi CARiNG dan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban pesakit buah pinggang.

Katanya, ia berikutan jumlah pesakit buah pinggang yang kian meningkat dan kos rawatan dialisis disediakan syarikat swasta adalah RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap sesi berbanding di pusat hemodialisis di bawah kendalian pihaknya yang mengenakan bayaran RM158.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 6:52 AM