ANTARA koleksi pakaian pengantin yang ditawarkan.
ANTARA koleksi pakaian pengantin yang ditawarkan.

Johor Bahru: Bagi membantu pasangan raja sehari mendapatkan bajet perkahwinan minimum, seramai 50 perunding perkahwinan, pengusaha kad jemputan, katering dan produk berkaitan berkampung sempena Pameran Pengantin Johor 2016 (JFW2016) di [email protected], di sini.

Penganjurnya, Farid Ibrahim berkata, pameran bertemakan ‘Jom Tempah Pakej Bajet’ itu yang bermula kelmarin hingga 31 Januari ini akan menyediakan pelbagai aktiviti disediakan khas kepada pengunjung untuk merebut peluang terbabit.

“Penganjuran majlis perkahwinan boleh menelan belanja antara RM20,000 dan RM25,000 merangkumi kos pelamin, busana, makanan, solekan serta dandanan dan lain-lain lagi.

“Namun, dianggarkan 70 peratus bakal raja sehari mempunyai bajet kurang daripada jumlah sepatutnya iaitu RM15,000 saja dan di pameran ini lokasi terbaik untuk merancang perkahwinan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program yang disempurnakan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Nor Afandi Jamaian.

Katanya, akibat terdesak, ramai pengantin terpedaya dengan tawaran murah kononnya menawarkan pakej serba satu sedangkan ia hanya taktik individu yang mahu mengambil kesempatan.

Menurut Farid, selain membuat tempahan dengan bajet sederhana, bakal raja sehari yang hadir juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

“Antara hadiah menarik ditawarkan perabot dan juga pakej bulan madu ke destinasi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Farrah Darlia Mohd Rawi, 25, dari Pontian berkata, dia hadir ke pameran itu bagi mencari pakej bersesuaian untuk perkahwinannya yang dijangka berlangsung pada September nanti.

Menurutnya, penganjuran pameran itu amat dinantikan kerana memudahkan dirinya dan bakal pengantin lain membuat pelbagai tempahan di bawah satu bumbung.

“Saya dan bakal suami tidak mempunyai banyak masa untuk ke kedai pengantin kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian.

“Jadi, pameran sebegini amat membantu kami mencari dan membuat perbandingan bagi pakej kad jemputan, pelamin dan lain-lain lagi.

“Malah, harga ditawarkan juga agak munasabah dan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:12 AM