ANTARA wanita warga asing yang ditahan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan elit di Jalan Loke Yew.

Kuala Lumpur: ‘Disko lalok’ jual air dadah. Itu tarikan ditawarkan pusat hiburan elit di Jalan Loke Yew, di sini, yang menjadi lubuk dadah kepada ribuan pengunjung premis itu.

Premis yang menjual dadah ganja, syabu dan ketamin itu turut menyediakan 150 wanita pelayan pelanggan (GRO) bagi menarik minat pelanggan lelaki berhibur.

Bagaimanapun, aktiviti hiburan dadah itu dibongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu premis itu awal pagi semalam.

Sumber polis berkata, serbuan jam 2.15 pagi itu turut membabitkan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Katanya, polis menahan 150 wanita warga asing berasal dari Kemboja, Mongolia, Thailand, Vietnam dan China.

“Pihak kami turut menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap 444 wanita dan 551 lelaki yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan.

“Ujian saringan air kencing mendapati lapan wanita warga China dan 36 lelaki positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lesen pusat hiburan berkenaan mendapati premis itu sah beroperasi sehingga Mei depan.

“Polis turut merampas 12 botol minuman berperisa disyaki mengandungi dadah, empat batang rokok ganja, satu peket dadah serta 12 pil ecstasy serta dua peket ketamin.

“Semua wanita warga asing ditahan kerana menyalah guna pas lawatan sosial, salah guna permit kerja dan tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Sumber berkata, dua lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan atas kesalahan menggaji dan melindung wanita warga asing.

“Semua suspek dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:13 AM