MOTOSIKAL mangsa terperosok  bawah treler.
MOTOSIKAL mangsa terperosok bawah treler.

Machang: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh treler di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Kemuning, di sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu menyebabkan Muhammad Nor Harun, 80, parah seluruh badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari bandar Machang ke rumahnya di Kampung Pek Panyit, di sini.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai keluar dari simpang kiri jalan dan memasuki laluan treler,” katanya.

“Pemandu treler berusia 50 tahun cuba membrek dan mengawal kenderaannya, namun terlanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang, di sini, untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 7:19 AM