DR Rahim (duduk, dua dari kiri) memimpin mengucap dua kalimah syahadah bersama Nur (dua dari kanan) pada majlis pengislaman di MACMA.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


Melaka: “Detik melafazkan dua kalimah syahadah amat mendebarkan, namun saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan kini sah bergelar lelaki Islam,” kata saudara baharu Mohamad Tan, 35, yang secara rasmi memeluk Islam, semalam.

Terdahulu Mohamad Tan atau Tan Poh Wah, bersama seorang lagi saudara baharu wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 30, melafazkan kalimah syahadah itu pada majlis yang berlangsung di Pejabat Persatuan Cina Muslim (MACMA), di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, sejak zaman persekolahan dia sudah didedahkan mengenai agama Islam kerana kerap mengikut rakan berketurunan Melayu masuk ke dalam masjid dan mengikut cara mereka menunaikan solat.

“Keluarga tidak menghalang ketika dimaklumkan mahu memeluk Islam, saya sendiri tidak mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan mereka, apa yang penting adalah perlu terus ingat dan hormati ibu bapa.

“Sebelum ini, bapa saudara saya sudah memeluk Islam, jadi keluarga tidak asing atau kekok untuk bergaul dengan individu Muslim kerana mereka tahu apa yang boleh dan apa dilarang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran berkata, pengalaman bercinta dengan dua gadis beragama Islam turut menariknya untuk menjadi seorang lelaki Muslim, namun hubungan itu terputus di tengah jalan walaupun pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Ditanya mengenai pengetahuan asas Islam secara formal, Mohamad Tan berkata, dia berasa tenang setiap kali mendengar orang ramai membaca al-Quran dan berharap selepas ini ada individu yang sudi mengajarnya membaca kitab suci itu.

“Hasrat untuk memeluk Islam mula timbul selepas berbincang dengan seorang rakan yang mencadangkan saya berjumpa dengan ustaz di MACMA bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai proses perlu dilalui,” katanya.

Sementara itu Nur, yang juga pensyarah di sebuah kolej di Masjid Tanah, Alor Gajah itu dilihat tenang ketika mengucap dua kalimah syahadah yang dipimpin Penaung MACMA Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Nur, berasal dari Sarawak, dikatakan pernah mengikuti Kursus Asas Daqwah di D’Village tahun lalu dan sudah lama berhijab walaupun masih mengamalkan ajaran agama lamanya sebelum mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Majlis bersejarah bagi dua saudara baharu itu turut disaksikan Pendaftar Mualaf Negeri Melaka dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Mohd Lieow Abdullah dan Pengerusi MACMA Lim Jooi Soon.

Sementara itu, Rahim berkata, umat Islam terutama masyarakat Melayu diminta tidak membuat tafsiran negatif terhadap golongan mualaf.

“Prasangka terhadap mualaf perlu dibuang kerana mereka golongan yang menerima hidayah dan sanggup berkorban menghadapi pelbagai kemelut dalam hubungan sosial,” katanya.

Beliau turut memuji program dakwah anjuran MACMA yang dilakukan secara aktif dan pendekatan yang digunakan pula berkesan serta memberikan kesan mendalam terhadap saudara baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 4:44 AM