Majlis doa selamat dan penerangan misi bantuan Syria di Batu Caves Selayang.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: “Kami memohon kepada Ilahi semoga misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria dipermudahkan-Nya. Kami juga amat berharap rakyat Malaysia mendoakan semoga niat membantu saudara kita yang dalam kesusahan tidak berhadapan rintangan,” kata Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan.

Sabtu lalu, beliau menganjurkan majlis doa selamat dan sesi penerangan mengenai persiapan rombongan Muslim Care seramai 19 orang termasuk wartawan Harian Metro ke Reyhanli, Turki serta Idlib dan Ghutoh, Syria mulai Khamis ini hingga 10 Februari depan dalam misi kecemasan untuk menyalurkan bantuan bagi pelarian itu menghadapi musim sejuk.

Majlis doa selamat berkenaan diadakan di rumah Zulkifli di Taman Bandar Baru Selayang, di sini, turut dihadiri penduduk setempat berlangsung dalam keadaan sayu dan menginsafkan dimulakan dengan tazkirah Dr Riduan Mohd Nor mengenai nasib saudara Islam Syria yang berhadapan konflik kemanusiaan.

“Hanya kepada Allah, kami bertawakal semoga misi bantuan kepada pelarian Syria ini berlangsung dengan mudah. Semua tahu situasi keselamatan di kawasan sasaran misi ini kurang selamat.

“Selain itu, menjadi sukarelawan bukan mudah terutama untuk berdepan dengan mangsa kekejaman manusia. Sehubungan itu, kami berserah kepada Allah semoga jiwa kami kuat berdepan sebarang dugaan bagi melunaskan misi ini.

“Kami membawa amanah rakyat Malaysia prihatin untuk sama memberikan sumbangan membantu mengurangkan beban pelarian khususnya golongan kanak-kanak yang tentunya memerlukan kelengkapan persediaan musim sejuk yang dijangka boleh mencecah di bawah paras sifar,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat itu.

Menurutnya, pihak Muslim Care juga mendapat kerjasama amat baik daripada badan bukan kerajaan (NGO) terkenal Turki iaitu IHH Humanitarian Relief Foundation dalam membantu menguruskan sekolah untuk mangsa konflik Syria itu.

Niat Muslim Care menganjurkan misi kali ini, katanya, adalah memberikan bantuan musim sejuk dan atas kesedaran itu pihaknya amat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu saudara yang kini dalam kesusahan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Muslim Care (Maybank 5644904- 13882), (Bank Islam 14032010093-
666) dan hantarkan mesej mengenai sumbangan ke nombor telefon 019-2726567 (Ustaz Nazmi) atau 0122510877 (Haji Sham).

“Atas sifat perikemanusiaan, kami menyasarkan untuk mengumpul setengah juta ringgit untuk disalurkan kepada pelarian khususnya kelengkapan diri untuk musim sejuk, makanan dan ubat-ubatan.

“Sukarelawan yang mengikuti misi ini terdiri pelbagai latar belakang termasuk dua doktor pakar kanak-kanak, ahli korporat dan kakitangan swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 4:47 AM