ABU Bakar menunjukkan kaedah menoreh getah ketika ditemui di Kampung Sungai Siput, Lubok China.
Oleh Hassan Omar


Alor Gajah: Fenomena El Nino turut menjejaskan pekebun kecil getah di negeri ini apabila ada antara mereka mendakwa hasil kutipan susu getah semakin merosot sejak beberapa bulan lalu.

Selain jumlah kutipan yang kurang, kejatuhan harga bahan mentah itu turut menyebabkan pekebun kecil terpaksa melalui saat sukar berikutan pendapatan merosot.

Kedua-dua faktor itu menyebabkan kebanyakan penoreh mengambil keputusan berehat seketika dan melakukan kerja lain kerana usaha itu dianggap tidak berbaloi dengan pendapatan diperoleh.

Penoreh di Kampung Sungai Siput, Lubok China, Abu Bakar Mohamad, 61, berkata, dia tidak lagi ke kebun untuk menoreh getah sejak awal Disember lalu berikutan pengeluaran susu getah yang merosot.

Katanya, kebun getah peninggalan ibunya masih lagi ditoreh oleh adik perempuannya bagi memastikan pokok getah berusia lapan tahun itu tidak terus berhenti daripada mengeluarkan susu.

“Keluasan kebun kami tidak sampai satu hektar, sebelum ini dalam tempoh dua minggu saya boleh mengumpul sehingga 50 kilogram (kg) getah beku. Bagaimanapun, pada musim panas sekarang, saya hanya boleh mendapat antara 25 hingga 30kg getah beku.

“Kejatuhan harga getah hingga RM1.80 untuk satu kg menyebabkan saya dan ramai lagi penoreh mengambil keputusan untuk berhenti sementara daripada menoreh getah,” katanya.

Katanya, ketika harga getah melambung hingga RM7 satu kg pada 2010 dan 2011, dia menoreh dua kali sehari, iaitu pada jam 4 pagi dan 6 petang kerana tidak mahu lepaskan peluang menambah pendapatan.

Menurutnya, harga getah jatuh mulai awal 2012 hingga sekarang dan tiada petunjuk harga akan kembali melonjak berikutan getah asli tempatan terpaksa bersaing dengan Thailand dan Indonesia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini mengeluarkan kenyataan, cuaca panas di Semenanjung dijangka berlanjutan hingga Mac depan berikutan kemerosotan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 4:56 AM