X
 Khairul Anuar (dua dari kanan) beramah mesra dengan keluarga mangsa terkandas di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu.
Khairul Anuar (dua dari kanan) beramah mesra dengan keluarga mangsa terkandas di Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu.

Satu keluarga warga China termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun berdepan detik cemas selepas kapal layar dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin sebelum terkandas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikenali Zuo Fei, 37, dan isterinya Che Zhao Xia,31, bersama anak perempuan mereka Zuo Zi Xuan, 7, ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kini ditempatkan sementara di pangkalan berkenaan sementara kapal layar itu diperbaiki.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari pelabuhan jeti Sutera Harbour pada Sabtu lalu menuju ke Pulau Palawan, Filipina sebelum berpatah balik ke perairan negeri ini berikutan masalah kerosakan enjin kapal layar berkenaan.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya berkata, kapal layar dinaiki mangsa itu tiba di jeti kapal layar di Pangkalan TLDM, Sepanggar untuk meminta bantuan.

“Kami menghulurkan bantuan sewajarnya termasuk membaiki kapal layar serta memberikan penginapan kepada mereka sekeluarga di sini,” katanya pada sidang media di Pangkalan TLDM, Sepanggar, dekat sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:03 AM