PENOLONG Pegawai Kesihatan Persekitaran Mazlan Gany (kanan) memeriksa barangan di sebuah pasar raya sekitar Bukit Tinggi.
PENOLONG Pegawai Kesihatan Persekitaran Mazlan Gany (kanan) memeriksa barangan di sebuah pasar raya sekitar Bukit Tinggi.

Klang: Sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, di sini, diserbu Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas didapati menjual barangan makanan tamat tempoh.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, beberapa barangan disita selepas pemeriksaan mendapati penjual produk makanan itu melanggar Akta Makanan 1983.

“Sitaan dibuat membabitkan beberapa produk makanan kerana melakukan kesalahan label makanan, barangan tamat tempoh (barang lama) dan tin didapati kemek serta beberapa kesalahan lain.

“Operasi sempena musim perayaan dijalankan Jabatan Kesihatan MPK diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Mazlan Gany bertujuan melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan dan penipuan penjualan makanan.

“Operasi bagi mengawal makanan sentiasa berkualiti, bersih dan bermutu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Norfiza berkata, pada masa sama, MPK mengingatkan pengguna sentiasa berwaspada terutama menjelang musim perayaan dan memastikan membeli barang makanan berkualiti.

Katanya, penting kepada pengguna sentiasa memastikan barangan makanan dibeli bersih dan bermutu serta tidak mendatangkan kesan kepada kesihatan.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu memastikan barangan yang dibeli berada dalam keadaan baik seperti tin tidak berkarat, menggelembung atau kemek serta mempunyai tarikh luput.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:55 AM