RAKAMAN CCTV pintar di Lokap Berpusat Jinjang di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur.
Oleh Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Kes kematian misteri atau tahanan lokap dipukul polis bakal berakhir apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan teknologi Sistem Lokap Teknologi Pelaporan Analisis Pemantauan Sendiri (SMART).

Alat maju itu mampu mempertingkatkan tahap keselamatan lokap di pusat tahanan dan balai polis seluruh negara selain membersihkan nama polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sehingga kini 58 daripada 704 lokap di seluruh negara menggunakan sistem berkenaan termasuk Lokap Berpusat Balai Polis Jinjang, di sini, yang dijadikan sebagai projek perintis.

Katanya, menerusi Sistem Lokap SMART, setiap lokap dilengkapkan kamera litar tertutup (CCTV) Pintar yang dapat mengesan tindakan mencurigakan setiap tahanan dan anggota polis bertugas.

“Isu tahanan dalam lokap kerap menjadi perhatian media jika berlaku kematian atau pergaduhan. Namun, dengan adanya CCTV Pintar yang dipasang menerusi Sistem Lokap SMART ia dapat mengurangkan insiden tidak diingini dan salah laku tahanan serta polis di dalam lokap.

“CCTV Pintar yang dipasang dapat memberi amaran awal kepada anggota dan pegawai bertugas dengan membunyikan penggera bagi mendapat respons segera. Misalnya jika ada OKT (orang kena tahan) yang cuba membunuh diri atau mengerang kesakitan.

“Dalam pada itu, rakaman CCTV terbabit dapat dijadikan bukti kepada penyiasat setiap kes yang berlaku di lokap berkenaan,” katanya selepas menghadiri taklimat mengenai Sistem Lokap SMART di Pusat Tahanan Berpusat Jinjang, di sini, semalam.

Menurut Zulkifli, projek perintis berkenaan adalah hasil kerjasama PDRM bersama Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Katanya, sebagai projek perintis Sistem Lokap SMART di Pusat Tahanan Berpusat Jinjang menggunakan CCTV Pintar secara menyeluruh dan meliputi seluruh parameter kawasan berkenaan berbanding pusat tahanan lain yang dipasang di lokap sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:02 AM