ANTARA ikan yang ditangkap.
ANTARA pukat yang dipasang nelayan.

Sabak Bernam: Ibarat durian runtuh buat nelayan pantai di sepanjang perairan Parit 5 Sekinchan, apabila memperoleh tangkapan ikan 300 kilogram (kg) dalam tempoh tiga hari.

Antara ikan yang diperoleh ialah gelama, belukang, belanak, gelama pisang, pari, udang dan sembilang.

Nelayan, Mohd Hamdan Marzuki, 51, berkata, dia memperoleh tangkapan ikan luar jangkaan terutama jenis sembilang sepanjang tiga hari ke laut.

“Kebiasaannya ikan banyak sebegini berlaku pada April hingga Jun, namun kini lebih awal.

“Mungkin faktor air laut yang baik menyebabkan musim ikan berkumpul berhampiran pantai lebih awal,” katanya ditemui, semalam.

Mohd Hamdan berkata, dia menggunakan jaring tangsi lima sentimeter sepanjang 570 meter di kedudukan 1.5 kilometer dari pantai untuk menangkap ikan.

“Saya melabuhkan jaring ketika air laut mulai surut. Kebiasaannya, pelbagai ikan mengenai jaring termasuk ikan gelama, belukang, belanak, gelama pisang, pari, udang dan sembilang,” katanya.

Menurutnya, dia menjual ikan sembilang kepada peraih pada harga RM18 sekilogram dan memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan pada musim biasa dan lebih RM6,000 jika musim ikan banyak seperti ketika ini.

Sementara itu, peraih ikan dari Kampung Parit Lapan, Abdul Bar Darus, 47, berkata, setiap hari dia menghubungi Mohd Hamdan untuk mendapatkan bekalan ikan segar sebagai hidangan utama di kedai makannya.

“Bukan sepanjang masa nelayan pantai seperti Mohd Hamdan mendapat hasil sebegini malah ada ketika mereka berputih mata apabila tiada langsung ikan lekat pada jaring dan pukat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:51 AM