Antara treler yang musnah dibakar.
Oleh Shamsul Munir Safini

Nibong Tebal: Akibat marah kerana kalah dalam bidaan projek, sekumpulan lelaki bertindak membakar tujuh treler milik sebuah syarikat di kawasan parkir di Jalan Hutan Petai, Simpang Ampat, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.20 malam, semua treler yang diparkir di situ musnah 85 peratus selepas dibakar individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai tidak berpuas hati kerana kalah bidaan projek dengan pemilik syarikat treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, treler berkenaan diparkir di situ selepas pemiliknya bercuti untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.

“Beberapa suspek datang ke situ dan membuat khianat dengan membakar bahagian depan treler menggunakan minyak petrol yang diisi ke dalam botol air mineral.

“Polis menemui botol berkenaan yang ditinggalkan di tempat kejadian dan masih menyiasat serta memburu suspek yang bertanggungjawab terbabit kes itu,” katanya.

Wan Hassan berkata, pihaknya masih belum dapat menentukan jumlah kerugian ekoran kejadian itu dan kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami sudah mendapatkan keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan tiada suspek ditahan setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:55 AM