LORI muatan kelapa sawit terbalik selepas cuba lari daripada sekatan JPJ.

Sabak Bernam: Sangkaan seorang pemandu lori muatan sawit yang menyangka akan ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila lori yang dipandu terbabas ke dalam parit di Air Manis, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu lori berkenaan bersama seorang kelindan dalam perjalanan ke sebuah kilang memproses kelapa sawit sebelum berselisih dengan kenderaan yang dinaiki anggota JPJ.

Pemandu lori berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Firdaus, 22, berkata, akibat bimbang ditahan, dia berpatah balik untuk masuk ke sebuah tapak pembinaan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian itu, sebanyak 27 tan metrik kelapa sawit yang dibawa lori tumpah ke dalam parit.

“Ketika menghampiri persimpangan Air Manis, lori yang saya pandu berselisih dengan kereta peronda JPJ. Saya berhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum melihat kereta peronda JPJ berpatah balik.

“Saya panik lalu mengambil keputusan memandu lori ke tapak pembinaan berhampiran untuk parkir seketika dengan harapan anggota JPJ tidak perasan.

“Namun ketika lori masuk ke tapak pembinaan itu, tebing jambatan tanah tiba-tiba runtuh menyebabkan lori tidak dapat dikawal dan terbabas masuk ke dalam parit,” katanya, semalam.

Menurutnya, kejadian yang berlaku terlalu pantas sehingga dia tidak sempat berbuat apa-apa namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan.

Katanya, rakan kelindannya yang cedera ringan pada bahagian kaki dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini, untuk rawatan lanjut.

“Anggota kereta peronda JPJ yang melihat kejadian kemudian terus bergegas membantu kami untuk keluar dari lori dan menyatakan mereka hanya melalui kawasan berkenaan dan bukan hendak menahan lori yang saya pandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 6:55 AM