MOHD Hasdi menunjukkan gambar dua individu yang disyaki mencabut dan mengambil taring harimau.

Kuala Terengganu: Dua individu yang gambar mereka viral di laman sosial serta masing-masing menaiki Proton Wira dan Toyota Hilux diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi membantu siasatan terhadap kehilangan taring harimau bunting yang mati dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada 6 Februari lalu.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, gambar dua lelaki yang viral sejak kelmarin itu memberi petanda baru kepada jabatannya menjejaki individu bertanggungjawab.

“Kami akan berikan imbuhan istimewa kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang boleh didakwa mengikut Seksyen 68(1)(C) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara lima tahun.

“Sehingga kini, tujuh individu iaitu empat kakitangan LPT2, dua kakitangan PERHILITAN yang menerima bangkai harimau daripada pihak lebuh raya dan pemandu yang merempuh harimau itu disoal siasat,” katanya.

Pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol di LPT2 untuk membantu siasatan.

Pihaknya minta kerjasama semua pihak terutama orang awam untuk menyalurkan maklumat mengenai dua suspek yang dipercayai terbabit secara langsung dengan kegiatan mengeluarkan taring dan misai pada bangkai harimau betina itu.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki yang sedang diburu itu boleh menyalurkan maklumat itu kepada PERHILITAN di talian 09-6221460 atau terus ke Pejabat PERHILITAN terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 6:38 AM