KUMPULAN ekspedisi yang menjalankan penyelidikan di Antartika.
KUMPULAN ekspedisi yang menjalankan penyelidikan di Antartika.
SATU daripada sampel diambil untuk dibawa pulang ke tanah air.
SATU daripada sampel diambil untuk dibawa pulang ke tanah air.
MAKANAN berat membantu mengekalkan daya tubuh dalam cuaca sejuk.
MAKANAN berat membantu mengekalkan daya tubuh dalam cuaca sejuk.
PENGALAMAN menjejaki Antartika memberi 1001 satu makna kepada kumpulan penyelidik Malaysia.
PENGALAMAN menjejaki Antartika memberi 1001 satu makna kepada kumpulan penyelidik Malaysia.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Menelusuri pelayaran berbahaya apabila terpaksa berdepan ombak setinggi enam meter di Drake Passage semata-mata mahu tiba di Antartika untuk mengambil sampel bagi kajian dan penyelidikan.

Cabaran berisiko dan boleh diibaratkan menempah maut itu ditempuh selama empat hari oleh lapan saintis tempatan dari enam universiti sepanjang mengikuti Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016, baru-baru ini.

Selama empat hari di lautan menggunakan kapal layar ‘Yatch Australis’, pernah terdetik seketika di dalam hati masing-masing ‘penyesalan’ serta tidak mahu menyertai ekspedisi berkenaan.

Bagaimanapun, berbekalkan semangat dan harapan negara serta rakyat Malaysia, penyelidik terbabit dengan cekal hati menempuh pelayaran itu penuh ketabahan dan kesabaran.

Perkara itu diakui pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohamad Huzaimy Jusoh yang mengetuai ekspedisi itu selama 22 hari.

Menurutnya, bukan saja bahaya di lautan, mereka juga tidak dapat menikmati makanan berat sepanjang empat hari menaiki kapal layar di Drake Passage.

“Kami hanya makan biskut, coklat atau bijiran selama empat hari kerana tidak mampu untuk bangun dan berjalan di sekitar kapal.

“Bayangkan, kami berlapan terpaksa baring saja kerana ombak terlampau kuat menyebabkan kapal bergoyang ditambah mabuk laut,” katanya.

Dr Mohamad Huzaimy berkata, mereka turut berdepan angin kencang dengan kelajuan 80 kilometer sejam sedangkan kapal layar dinaiki hanya mampu bergerak 20 kilometer sejam.

“Disebabkan tidak boleh bangun atau berjalan di dalam kapal layar, kami yang beragama Islam turut menunaikan solat secara baring termasuk ketika mengambil wuduk.

“Semasa di dalam kapal, pernah juga terdetik menyesal mengikuti ekspedisi ini dan teringat keluarga di rumah, namun kami cekalkan hati dan sentiasa berdoa memohon pertolongan Allah,” katanya.

Cabaran lain turut ditempuh apabila keadaan cuaca yang tidak menentu manakala, suhu sentiasa berubah-ubah setiap tiga jam.

Apabila tiba di tempat yang dituju, beliau berkata, mereka memulakan kerja mengambil sampel sama ada dianalisis di situ atau dibawa pulang ke tanah air.

“Kami diberikan permit untuk mengambil sampel dan ini bermakna, apa yang diambil mestilah mengikut peraturan dan had ditetapkan.

“Setiap sampel yang diambil diperiksa terlebih dulu oleh pihak mereka bagi memastikan ia tidak melebihi had ditetapkan,” katanya.

Lebih 200 sampel yang dikumpulkan seperti air, alga, sedimen, lumut, batuan, haiwan tidak bertulang belakang di dalam laut, debunga dan tanah selain merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik.

Sampel dan bacaan yang direkodkan adalah untuk beberapa kajian saintifik berhubung kait Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim selain penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Huzaimy berkata, hasil penemuan sampel itu akan dibentangkan pada Persidangan Sains Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika 2016 pada 20 hingga 30 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Ekspedisi berkenaan dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Saintis terbabit masing-masing dua peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala masing-masing seorang dari UiTM, Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:30 AM