Oleh Hamizah Badiran


Hari ini, International College of Automotive (ICAM) di Kompleks Automotif DRB-HICOM, Pekan, Pahang, melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi bertukar status menjadi DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU), universiti ke-52 dan termuda di negara ini.

DHU dirasmikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan tambah manis, pada hari ini, anakandanya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dilantik Canselor pertama universiti itu.

Sementara itu, ahli akademik tersohor dari New Zealand, Profesor Dr Garry Clayton menerajui DHU selepas dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) universiti berprestij itu.

Ternyata, ia ditubuhkan pada masa yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan pendidikan lebih tinggi dalam mata pelajaran teknikal seperti kejuruteraan automotif.

Walaupun kejuruteraan seperti mekanikal, elektrik dan elektronik lebih dikenali, pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif kurang diberi perhatian. Namun DHU kini berdiri teguh dan memberi kesan yang membolehkan pelajarnya mendapat banyak manfaat dalam kerjaya.

Ditubuhkan pada April 2010, ICAM bermula dengan tiga program diploma di kampus sementara di Bandar Diraja Pekan, Pahang.

Institusi pendidikan dan latihan ini diwujudkan bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta pakar yang merangkumi seluruh rantaian bekalan industri automotif.

Selain pengajaran teori di dalam kelas, pelajar turut menjalani latihan praktikal supaya mereka terdedah kepada amalan kerja industri automotif dan boleh memasuki pasaran pekerjaan tanpa perlu banyak latihan tambahan.

Kini, DHU terus maju dengan menawarkan sembilan program diploma dan tiga program ijazah serta terbaru, Sekolah Siswazah yang menawarkan program Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan teknologi dan juga pengurusan.

Selain mahir dalam bidang teknikal, graduan DHU mempunyai nilai tambah tersendiri apabila dibimbing untuk memberi perkhidmatan pelanggan terbaik seperti memastikan pengetahuan dan maklumat sewajarnya disalurkan kepada pelanggan, khususnya ketika mendapatkan khidmat penyelenggaraan kenderaan.

Penekanan diberikan kepada perkara ini sebagai pendekatan menggalakkan graduan berkongsi pengetahuan dengan umum dan meningkatkan tahap celik automotif di kalangan masyarakat.

DHU adalah satu-satunya institusi pengajian automotif di rantau ini yang dibina berasaskan prinsip ‘Oleh Industri, Untuk Industri’.

Ini terbukti apabila tenaga pengajar DHU sering mendapatkan maklum balas wakil industri mengenai perkembangan terkini industri automotif yang perlu dijadikan sebahagian kurikulum pengajian.

Pihak universiti turut membantu pelajarnya mendapatkan peluang pekerjaan di syarikat automotif global di bawah Kumpulan DRB-HICOM seperti MercedesBenz, Isuzu, Suzuki, Proton, Honda, Audi, Mitsubishi dan Modenas manakala di luar kumpulan seperti di Tan Chong Ekspress Auto Servis, PERODUA, Naza dan sebagainya.

Selain itu, kedudukan DHU yang terletak di hab serantau automotif DRB-HICOM di Pekan turut membantu kawasan itu semakin dikenali dan membangun dengan pesat apabila banyak pusat komersil mula dibuka serta kawasan perumahan dibina.

Dengan status baru sebagai sebuah universiti, DHU komited untuk terus melahirkan pelajar profesional dalam bidang automotif yang mempunyai kemahiran teknikal dan amali, selain aspek pengurusan kewangan dalam perniagaan.

Pelajarnya akan dibekalkan dengan asas latihan merangkumi penyelesaian isu sebenar, pendedahan amali dan sebagainya bagi menjadikan mereka graduan berpotensi tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:15 AM