KEADAAN semua mangsa yang selamat dibawa keluar anggota bomba.

Puchong: Sesat walaupun pernah beberapa kali melakukan aktiviti riadah di Hutan Simpan Air Hitam di sini. Itu pengalaman pelik dilalui tujuh sahabat yang tersesat dan gagal mencari jalan keluar kelmarin.

Semua mangsa berusia awal 20-an itu dikatakan berpusing-pusing dalam hutan itu lebih enam jam menyebabkan seorang daripada mangsa kejang otot kaki.

Mangsa yang juga penuntut kolej dikatakan memasuki kawasan hutan itu pada jam 9 pagi kelmarin untuk melakukan aktiviti bersama-sama.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 petang kelmarin dan pasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan pasukan penyelamat.

“Mereka cuba mencari jalan keluar namun tidak jumpa,” katanya.

Katanya, seorang daripada mangsa mendakwa mereka tidak menemui jalan keluar walaupun beberapa kali pergi ke hutan berkenaan.

“Anggota bomba mengarahkan semua mangsa tidak berpecah supaya lokasi mereka mudah dikesan.

“Semua mangsa ditemui selamat pada jam 12.54 tengah malam semalam dan dibawa keluar pada jam 1.25 pagi,” katanya.

Semua mangsa dibawa ke Balai Polis Puchong untuk diambil keterangan sebelum dihantar pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:14 AM