Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Hulu Terengganu: Seekor gajah liar jantan berusia lima tahun yang ditangkap di FELDA Cherul, Kemaman pada November tahun lalu menjadi tarikan terbaru apabila ditempatkan di Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir (KECV), di sini, untuk dipamerkan kepada orang awam.

Gajah berusia lima tahun dan dipanggil Detox itu menjadi mamalia yang ke-13 ditempatkan di KECV selepas dipindahkan dari Pusat Konservasi Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Sungai Deka, di sini, semalam.

Pengarah PERHILITAN Terengganu Mohd Hasdi Husin berkata, haiwan berkenaan dilatih dan dijinakkan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Dekar oleh jabatan berkenaan selama tiga bulan selepas ditangkap.

Menurutnya, selepas berpuas hati dengan perkembangannya ketika di Sungai Deka menyebabkan pihaknya melihat ia sudah sesuai untuk dipindahkan ke KECV serta dipamerkan kepada umum.

“Penyerahan gajah jantan ini adalah yang pertama selepas memorandum persefahaman (MoU) antara PERHILITAN dan kerajaan negeri.

“Sehingga kini, sebanyak 13 gajah berusia dua hingga 38 tahun iaitu enam jantan dan tujuh betina sudah ditempatkan di KECV.

“Mengikut MOU sebanyak 30 gajah perlu ditempatkan di KECV dan masih ada baki 17 gajah lagi akan dibawa ke situ dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya selepas majlis Penyerahan Gajah PERHILITAN kepada kerajaan negeri di KECV, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mohd Hasdi yang mewakili PERHILITAN menyerahkan permit khas gajah itu kepada Pengarah Urusan KECV Ang Ching Yang bagi pihak kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya akan cuba memenuhi kouta gajah yang dihantar ke KECV tetapi ia memerlukan satu tempoh yang panjang kerana kerja menangkap gajah liar bukan satu kerja atau usaha mudah.

“Gajah yang ditangkap akan dilatih terlebih dulu di Pusat Konservasi Gajah PERHILITAN Sungai Deka dalam tempoh tiga hingga enam bulan bergantung kepada saiz gajah sebelum dipindahkan ke KECV.

“Semua gajah di KECV akan dipamerkan kepada orang awam dan boleh menjadi tarikan terbaru terhadap industri pelancongan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:39 AM
ANGGOTA PERHILITAN melakukan proses pemindahan Detox di KECV untuk dipamerkan kepada orang awam.