SEBAHAGIAN pelajar yang menyertai Program NBOS-PILS di Kota Bharu.
Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Siti Nadzirah Che Mud

Kota Bharu: Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)-Program Inisiatif Libat Sama (PILS) yang diperkenalkan tiga tahun lalu memberi banyak manfaat terutama dalam penjimatan perbelanjaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Setiausaha Sekretariat NBOS-PILS Shanusi Ahmad berkata, melalui program itu, kementerian mampu menjimatkan sehingga 50 peratus daripada peruntukan disediakan untuk menjalankan program berimpak tinggi, termasuk projek pengubahsuaian dan menaik taraf makmal selain program KITA.‘Recycle’.

Katanya, penjimatan juga susulan pembabitan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang memiliki kepakaran masing-masing dan pengawasan pensyarah.

“Projek menaik taraf makmal di sekolah dijalankan kerana KPM sedang menuju ke arah melaksana semula latihan amali Sains di sekolah dan persediaan yang perlu dilakukan dengan menyediakan makmal yang bersesuaian.

“Oleh itu, mana-mana makmal yang sudah dikenal pasti rosak teruk, kita laksanakan program ini dengan konsep impak tinggi, capaian luas dan berkos rendah.

“Biasanya jika menggunakan kontraktor kos boleh mencecah RM380,000, namun kita dapat kurangkan sehingga RM150,000, manakala untuk Sabah Sarawak kurang RM200,000.

“Sehingga kini, tujuh makmal sudah menggunakan spesifikasi ini, termasuk empat unit di Terengganu, masing-masing satu di Klang dan Dengkil, di Selangor dan satu lagi di Tawah, Sabah,” katanya pada sidang media sempena program KITA.‘Recycle’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendek, di sini, baru-baru ini.

Program sama turut dijalankan di SK Kampung Sireh di sini.

Seramai 34 pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan bantuan enam pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) terbabit menjayakan program lima hari itu yang turut dimanfaatkan dengan membaiki peralatan sekolah, tandas dan melukis mural.

Shanusi berkata, pihaknya turut menjalankan program KITA.‘Recycle’ untuk mengurangkan perbelanjaan pembaikan kecil bagi sesebuah sekolah di seluruh negara.

“Jumlah anggaran keperluan penyelenggaraan ialah untuk RM1.2 bilion, oleh itu dengan peruntukan pembaikan kecil RM80 juta yang diberikan, kita dapat menjimatkan kos penyelenggaraan kecil ini dengan lebih rendah.

“Kami menggunakan kepakaran dan kerjasama dari IPT dan politeknik bersama tenaga pengajar mereka untuk membaiki kerosakan kecil yang tidak membabitkan struktur fizikal seperti kerusi, meja dan pintu pecah.

“Sehingga kini, sebanyak lapan sekolah dipilih membabitkan lima zon untuk menjalani program ini dan ia memberi impak positif apabila mampu menjimatkan 50 peratus kos berbanding menggunakan kontraktor luar,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu Sukri Hussin berkata, pihaknya menyambut baik program KITA.‘Recycle’ yang diperkenalkan KPM selepas sekolahnya mengalami kerosakan teruk akibat banjir pada 2014.

“Pelajar IPT yang menyertai program ini membantu membaiki peralatan sekolah yang rosak seperti kerusi, meja dan tandas. Malah, mereka turut mencantikkan sekolah dengan melukis mural di dinding sekolah.

“Murid di sini juga gembira dengan program ini apabila mereka sendiri datang membantu pada waktu petang, sekali gus merangsang dan memotivasikan mereka untuk mengikut jejak langkah pelajar IPT,” katanya.

Dalam pada itu seorang wakil pelajar Mohd Azman Samer, 22, berkata, mereka berbesar hati dapat menjalankan aktiviti sukarelawan itu, sekali gus membantu mengitar semula barang terbuang di sekolah berkenaan.

Pelajar tahun empat Fakulti Kejuruteraan Awam UKM berkata, dia dapat mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kuliah untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada murid sekolah.

“Banyak perkara yang kami lakukan di sini, termasuk membaiki peralatan rosak dan mengitar semula barang yang sukar untuk digunakan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Che Abdullah Mohd berkata, beliau menyambut baik penganjuran program itu kerana dapat manfaat besar kepada sekolah selain menerapkan amalan kitar semula dan baik pulih.

Katanya, program lima hari yang berkonsepkan ‘Hands On Experience’ itu adalah pengalaman berharga kepada pelajar kedua-dua sekolah.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak NBOS-PILS, pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi daripada UKM, UiTM, UNiMAP di atas usaha murni mereka menyumbang kepakaran dan tenaga kerja.

“Saya berharap program seperti ini juga dapat diperluaskan kepada semua sekolah di Malaysia kerana program KITA.‘Recycle’ ini adalah satu program yang sangat menguntungkan semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 10:14 AM