ADNAN menyampaikan tajaan Yayasan Pahang kepada Noorjahan di kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, semalam.
MODUL pengajarannya yang berjaya hingga dicalon sebagai guru global.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan : Guru prasekolah, Noorjahan Sultan berpuas hati dengan pencapaiannya menjadi antara 50 guru terbaik dari seluruh dunia dicalonkan untuk Anugerah Hadiah Guru Global 2016 anjuran Yayasan Varkey.

Noorjahan, 45, berkata, dia tidak kecewa kerana tidak terpilih menjadi antara 10 guru terbaik dunia untuk memenangi anugerah berkenaan, sekali gus membawa pulang hadiah AS$1 juta (RM4.2 juta) ditawarkan penganjur.

Katanya, pencapaian 10 guru terbaik adalah hebat, ada antaranya membina sekolah menggunakan dana sendiri, mengajar anak pelarian dan meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah yang sebelum ini tidak mahu berbuat demikian atas faktor kepercayaan kaum.

“Jika dibandingkan dengan pencapaian saya, memang jauh berbeza, tetapi saya masih tetap berbangga kerana menjadi antara 50 terbaik daripada lebih 8,000 calon mewakili 148 negara di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Terdahulu, guru Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama (SKIMU), di sini, itu menerima tajaan Yayasan Pahang yang menaja perjalanannya menghadiri majlis pengumuman pemenang Anugerah Hadiah Guru Global pada 8 hingga 13 Mac depan dengan pengisiannya turut membabitkan penganjuran forum perkongsian pengalaman serta kepakaran pendidikan.

Tajaan disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kepada Noorjahan di kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Noorjahan yang berpengalaman 23 tahun sebagai guru adalah seorang daripada dua pendidik Malaysia dicalonkan untuk Anugerah Hadiah Guru Global 2016.

Seorang lagi guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Khalidi, Muar, K Vanesri, 25.

Noorjahan berkata, dia terharu dengan pujian dan penghargaan diterima daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dengan pemimpin nombor satu negara itu pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 9:55 AM