YAP bersama Muhamad Saifuddin (kanan) terpilih mewakili Malaysia bagi International Abilympics di Perancis.
myMetro

Putrajaya: Seorang orang kurang upaya (OKU) bisu manakala, seorang lagi pekak dan jika dilihat secara zahirnya, mereka mempunyai kekurangan iaitu tidak boleh mendengar dan bercakap.

Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik kekurangan yang dimiliki itu, kedua-dua mereka dikurniakan bakat, kemahiran dan kreativiti tinggi dalam bidang kulinari.

Paling membanggakan, bekas penuntut Kolej Komuniti Selayang, Selangor itu terpilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Abilympics Antarabangsa 2016 di Bordeaux, Perancis bermula 23 hingga 27 Mac ini.

Dua sahabat itu, Yap Yee Heng, 21, yang bisu dan Muhamad Saifuddin Rosli, 22, yang pekak sejak lahir terpilih daripada 20 peserta menerusi pertandingan di peringkat negeri.

Menceritakan mengenai persediaan, Muhamad Saifuddin berkata, mereka berlatih setiap hari untuk melakukan yang terbaik sepanjang pertandingan itu.

“Kami berlatih dengan bimbingan dan panduan daripada pensyarah sebagai persediaan pada pertandingan ini,” katanya kepada media ketika ditemui di Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini.

Muhamad Saifuddin yang juga anak sulung daripada lima beradik berasal dari Selayang hanya boleh mendengar pendengaran kira-kira 40 peratus.

Bagi Yap, dia juga berharap dapat melakukan tugasan yang diberikan sehingga selesai sepanjang pertandingan itu berlangsung.

“Kami tidak pernah pergi ke luar negara dan pertandingan ini memberi peluang untuk menonjolkan bakat yang ada. Buat masa ini, saya berasa ok (untuk menyertai pertandingan),” katanya yang berasal dari Pahang.

Dalam pertandingan itu, mereka perlu menyediakan pembuka selera, menu utama serta pencuci mulut dan ia akan dinilai oleh juri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 9:16 AM