NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksport Negara di Bangunan Perdana Putra, semalam.
NAJIB mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksport Negara di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Usaha memacu pertumbuhan eksport negara diperkukuhkan dengan memberi penekanan khusus terhadap penembusan pasaran antarabangsa melalui e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha itu antara enam strategi yang diberi tumpuan bagi meningkatkan eksport negara kerana ia memainkan peranan penting dalam ekonomi negara yang mewakili 67.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, ia termasuk melaksanakan program eTRADE diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah inisiatif Digital Malaysia yang diselaraskan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Dalam program eTRADE, PKS dapat memasarkan produk mereka dan mendekati pembeli global melalui e-pasaran antarabangsa seperti Alibaba.com; eBay; Amazon.com; TradeIndia; TMall.com dan JD.com.

“Kerajaan menyasarkan sumbangan eksport PKS ditingkatkan kepada 23 peratus menjelang 2020, berbanding 19 peratus ketika ini,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksport Negara (NEC) di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, lima strategi lain yang diberi tumpuan ialah menggalakkan lebih banyak Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia menjadi juara eksport di peringkat serantau dan global, bagi mewujudkan lebih banyak syarikat bertaraf multinasional (MNC) dari Malaysia.

“Ketiga, memantapkan promosi penjenamaan Malaysia melalui inisiatif Perkongsian Awam-Swasta di bawah Program Promosi 1Malaysia, yang bertujuan mengoptimumkan manfaat kerjasama strategik dalam kalangan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dalam penjenamaan negara.

“Selain itu, MATRADE perlu mempelbagaikan pasaran eksport terutama ke bandar peringkat kedua dan ketiga di China, pasaran Greenfield dalam ASEAN, negara ahli Perkongsian Trans Pacifik serta pasaran Afrika dan Asia Tengah,” katanya.

Menurutnya, langkah ini mendedahkan lebih banyak peluang eksport kepada syarikat negara ini terutama PKS.

Beliau berkata, NEC juga turut membincangkan mengenai pelan strategik meningkatkan pengeluaran serta eksport produk pertanian melalui penekanan terhadap Kawasan Kekal Pengeluaran Makanan dan Zon Bersepadu Akuakultur.

Katanya, pelan ini disasarkan untuk mencapai imbangan perdagangan lebih baik bagi produk agro-makanan.

“Promosi pelancongan domestik juga diperhebatkan melalui penjualan pakej percutian yang bersepadu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 9:37 AM