PENGUAT kuasa JKN Perak melakukan pemeriksaan di sebuah restoran.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Empat premis makanan termasuk sebuah kilang kerisik kelapa di Taiping, dekat sini, diarah tutup 14 hari selepas pemeriksaan dijalankan mendapati operasi premis berkenaan berada pada tahap kebersihan tidak memuaskan.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, notis penutupan terhadap empat premis makanan itu dikeluarkan JKN Perak mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana didapati berada di bawah penilaian 55 peratus tahap kebersihan.

Menurutnya, kilang kerisik kelapa di Kawasan Perindustrian Tupai di Taiping itu diarahkan tutup selepas pihaknya menemui tikus dan najis haiwan itu di premis berkenaan, manakala keadaan kedai pula berada dalam kebersihan tidak memuaskan.

Katanya, tiga lagi premis makanan turut dirahsiakan tutup selepas pemeriksaan di dua premis berkenaan menemui najis tikus, manakala satu lagi premis berada pada tahap kebersihan 55 peratus.

Juita berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menjalankan Operasi Perak Bersih Dan Sihat Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang Dan Selama (LMS), yang diadakan selama tiga hari bermula Selasa lalu sehingga kelmarin.

“Sepanjang operasi itu, 208 premis makanan membabitkan 20 kilang makanan dan 188 premis penyediaan makanan diperiksa dengan 143 Notis Kesalahan 32B dan Notis Makluman Kesalahan terhadap pesalah dikeluarkan dengan kompaun keseluruhan berjumlah RM70,000.

“Selain itu, sebanyak 29 premis makanan iaitu 22 premis penyediaan makanan dan tujuh kilang makanan dikeluarkan Notis Kesalahan 32B dengan tawaran kompaun sejumlah RM39,500 mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataannya yang dikeluarkan semalam.

Dr Juita berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 147 jenis makanan bernilai RM1,711 dirampas kerana didapati melanggar Akta Makanan 1983 Dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 7:51 AM