KELAS berjalan seperti biasa di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi.
KELAS berjalan seperti biasa di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi.
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pendakwah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias atau dikenali sebagai Ustaz Kazim, tersentuh dan mengalir air mata melihat rakaman videonya berceramah di televisyen ketika dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, Kazim menjadi sayu melihat rakaman semula salah satu program yang disertainya kira-kira dua tahun lalu.

“Malam tadi (kelmarin), dia mengalirkan air mata apabila melihat dirinya sedang berceramah di salah satu program Forum Perdana.

“Barangkali dia merasa sedih dan hatinya melonjak-lonjak mahu aktif dan berceramah semula selain rindu untuk bertemu dengan semua untuk berkongsi ilmu yang dimiliki,” katanya pada sidang media di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di sini semalam.

Najmuddin berkata, selepas tempoh 40 jam pembedahan kedua yang dilakukan oleh pakar dari pihak Hospital Pakar KPJ-ISH Ipoh, tahap kesihatan adiknya menunjukkan perkembangan positif.

“Dia sudah tidak demam dan sudah mula diajar serta dipimpin untuk berjalan oleh isteri dan kakitangan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

“Selepas dipimpin berjalan, dia mengadu merasa penat, namun doktor memaklumkan itu reaksi peringkat awal dan beliau semakin pulih. Ini adalah doa yang dibaca daripada peminatnya seluruh negara dan hasilnya satu perkembangan yang positif terhadap kesihatannya,” katanya.

Menurutnya, Kazim yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ini sudah dipindahkan ke wad biasa malam kelmarin, bagaimanapun pihaknya masih belum memberi kebenaran orang ramai untuk melawat dan hanya menerima lawatan dalam jumlah yang terhad dan hanya daripada keluarga terdekat.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, Kazim dan keluarga menyatakan rasa kesal terhadap maklum balas negatif daripada segelintir pihak di laman sosial Facebook.

“Ada juga yang tidak henti-henti memberi komen negatif dan mengutuk sedangkan beliau tengah sakit, sehingga ada yang memberi komen ‘Inilah balasan untuk yang bersekongkol dengan kerajaan’.

“Sepatutnya tanggungjawab kita sebagai orang Islam adalah berdoa akan kesembuhannya agar dia boleh berdakwah semula, bukan dengan melemparkan caci maki dan kata nista. Kami berasa kesal dan sedih dengan perkara itu,” katanya.

Najmuddin berkata, berita berkenaan tahap kesihatan Kazim di media massa bukan semata-mata untuk meraih publisiti.

“Kami melakukan ini kerana desakan orang ramai yang mahukan berita yang sahih, tambahan pula mereka tidak dapat hendak berjumpa dan melawat Ustaz buat masa ini,” katanya memaklumkan Kazim mempunyai pengikut akaun Facebook mencecah satu juta orang.

Katanya, orang ramai boleh mendapat perkembangan terkini yang lebih tepat berkenaan kesihatan Kazim di dua akaun laman sosial Facebook iaitu Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias dan miliknya Ustaz Dato’ Haji Mohd Najmuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 7:55 AM