Mohd Dzuraidi (empat dari kiri) menunjukkan pil kuda bernilai RM8.3 juta yang dirampas.
Mohd Dzuraidi (empat dari kiri) menunjukkan pil kuda bernilai RM8.3 juta yang dirampas.
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Polis menumpaskan sindiket pengedaran pil kuda terbesar tahun ini yang menggunakan kenderaan diubah suai untuk menyembunyikan dadah pada dua operasi berasingan membabitkan tujuh serbuan di Rantau Panjang pada 20 Februari hingga 23 Februari lalu.

Pada operasi itu, polis merampas 414,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM8.3 juta dan menahan 14 suspek termasuk kakitangan awam wanita.

Suspek berusia 27 hingga 69 tahun termasuk dua wanita ditahan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di Rantau Panjang.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek menyembunyikan dadah diseludup ke negara ini dalam kenderaan diubah suai.

Menurut Mohd Dzuraidi, pihaknya menemui beberapa ruang simpanan bagi memuatkan dadah di kenderaan terbabit ketika melalui pemeriksaan di laluan sempadan Malaysia-Thailand.

“Operasi pertama membabitkan enam serbuan dijalankan pada 20 hingga 22 lalu dan kami menahan 11 suspek termasuk lima warga Thailand dan seorang kakitangan awam wanita, namun tiada rampasan dadah dibuat.

“Pada operasi kedua Selasa lalu, kami menahan tiga lagi warga tempatan termasuk seorang wanita. Kami turut merampas 414,000 pil kuda bernilai RM8.3 juta.

“Kami menyita harta suspek bernilai RM1.2 juta membabitkan lapan kereta, barangan kemas, dua jam tangan, wang tunai RM34,350 serta wang di akaun bank berjumlah RM276,611,” katanya di IPK Kelantan, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Superintendan Mit Emong.

Menurut Mohd Dzuraidi, pihaknya percaya sindiket terbabit beroperasi sejak enam bulan lalu dan mengedar dadah untuk pasaran Pantai Timur.

“Hasil siasatan, semua suspek terbabit dalam sindiket penyeludupan pil kuda di sempadan. Ia mempunyai rangkaian luas di negara jiran.

“Mereka direman di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB). Bagaimanapun, empat daripada 14 suspek termasuk dua lelaki warga Thailand dilepaskan tanpa syarat,” katanya.

Pada perkembangan lain, Mohd Dzuraidi berkata, sejak 1 Januari hingga 18 Februari lalu, pihaknya menahan 28,340 individu termasuk 1,260 warga asing atas kesalahan memiliki, mendapat bekalan dan positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:44 AM