LOKASI kedua-dua mangsa ditembak awal pagi semalam.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kajang: Seorang maut manakala rakannya koma selepas ditembak di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Semenyih, Kajang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam sebelum melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, dalam kejadian itu, suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan pistol.

“Polis menerima panggilan jam 4.40 pagi memaklumkan terdapat dua lelaki terbaring dan dipenuhi darah disyaki terkena tembakan di lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat, pihak kami bergegas ke lokasi kejadian. Mangsa pertama berusia 45 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan disahkan maut di lokasi kejadian manakala mangsa kedua berusia 26 tahun bekerja sebagai pemandu lori berada dalam keadaan koma.

“Siasatan awal mendapati suspek menunggang motosikal dan menghampiri kedua-dua mangsa sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah mangsa dan melarikan diri.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat manakala rakannya dihantar ke Hospital Kajang untuk menjalani pembedahan dan rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui beberapa kelongsong peluru dan dipercayai senjata api yang digunakan suspek adalah pistol.

“Setakat ini kami tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang suspek. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif kejadian juga masih dalam siasatan dan kami yakin dapat merungkai punca insiden dalam masa terdekat selepas mangsa yang koma kembali pulih untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:16 AM