ABDUL Rahman (tengah) pada sidang media, semalam.
Oleh Isma Ismail


Kuala Terengganu: Bagi menarik minat pembeli, sindiket klon kenderaan dikesan menjanjikan geran kereta atau perakuan pendaftaran kenderaan dengan bayaran tertentu.

Bagaimanapun, mereka akan menghilangkan diri atau gagal dihubungi selepas pembeli membuat bayaran tunai terhadap kenderaan klon sekali gus berhadapan apa saja risiko secara bersendirian.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Abdul Rahman Emang berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket biasanya menawarkan kenderaan klon menerusi laman sosial dan WhatsApp bagi menarik minat pembeli.

Menurutnya, mereka akan bertemu dengan pelanggan sekiranya ada yang berminat untuk urusan pembayaran mengikut jenis kenderaan.

Katanya, mereka juga menabur janji menguruskan proses mendapatkan geran kenderaan kepada pembeli sekiranya pelanggannya itu sanggup membuat bayaran tambahan.

“Tawaran mendapatkan geran adalah helah mereka kerana tujuannya hanya untuk menjual kenderaan. Biasanya sindiket gagal dihubungi selepas selesai urusan jual beli kenderaan dilakukan.

“Akibatnya, pembeli menanggung risiko menggunakan kenderaan klon dan berhadapan pelbagai masalah termasuk membaharui cukai jalan kenderaan,” katanya ketika mengadakan lawatan bersama pegawai kanan jabatan itu ke pejabat Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 22 kenderaan klon disita JPJ sejak awal tahun ini membabitkan model Honda Jazz, Honda Odyssey, Honda Civic, Subaru Impreza dan Toyota Wish.

Sebanyak 76 kenderaan disita hasil operasi dijalankan Skuad Khas JPJ pada 2014 manakala 156 pada 2015.

Abdul Rahman berkata, soal siasat terhadap pembeli juga mendapati mereka tahu kereta dibeli itu adalah klon tetapi tetap memilihnya kerana harganya murah berbanding nilai pasaran.

Katanya, pihaknya mendapati ada yang membeli kenderaan klon berjenama mewah yang dibawa masuk dari negara jiran pada harga serendah RM8,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 9:22 AM