X
SEORANG sukarelawan memberi makan kepada kucing jalanan di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus.
SEORANG sukarelawan memberi makan kepada kucing jalanan di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus.
myMetro

Kuala Terengganu: Sanggup berjaga hingga ke awal pagi dan menghabiskan masa selama tiga hingga empat jam setiap hari semata-mata mahu menemani dan memberi makan kepada kucing jalanan mungkin agak pelik, namun itulah aktiviti dilakukan sekumpulan anak muda di bandar raya ini.

Mereka bukan hanya sanggup memberi makan, malah turut memberi ubatan asas kepada haiwan terbiar berkenaan yang tidak sihat bermula jam 12 tengah malam hingga jam 3 atau 4 pagi.

Bagi mereka yang tidak menyukai haiwan berkenaan, pasti beranggapan aktiviti itu membuang masa atau ‘kerja bodoh’ tetapi bagi mereka yang menyayangi haiwan, ia memberi kepuasan kepada diri masing-masing.

“Kalau betul ada beranggapan aktiviti yang kami lakukan ini satu kerja bodoh atau sia-sia, biarkanlah mereka. Bagi kami dengan membantu kucing ini makan adalah satu kewajiban dan kebajikan seperti memberi makan kepada gelandangan.

“Kami puas apabila melihat kucing terbiar ini makan dan memastikan ia kenyang sebelum beralih ke lokasi lain,” kata Ayub Che Ngah, 28, dari Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sesuatu yang mengagumkan dapat dilihat ketika Harian Metro menyertai aktiviti itu di Pasar Manir,di sini, apabila seekor demi seekor kucing keluar daripada kawasan pasar sebaik motosikal dinaiki kumpulan berkenaan memasuki kawasan terbabit.

Sebaik ahli kumpulan berkenaan tiba, mereka akan menggoncangkan tabung berisi makanan kucing sebelum meletakkannya dalam beberapa pinggan pakai buang di kawasan berkenaan.

Antara pasar yang dikunjungi kumpulan berkenaan adalah Pasar Payang, Manir, Chabang Tiga dan Pekan Batu Enam dan pernah melakukan aktiviti itu di pusat pembuangan kucing di Dungun.

Difahamkan, bukan semua kucing jalanan tidak bernilai dan berpenyakit, malah ada antaranya bernilai ribuan ringgit tetapi disebabkan ada kecacatan haiwan berkenaan dibuang pemiliknya.

“Ada kucing jalanan yang pernah saya bela diambil oleh rakan dan penggemar kucing lain yang berminat untuk membelanya,” katanya ditemui ketika sedang memberi makan kucing bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, untuk membeli makanan dan ubatan asas untuk kucing terbiar berkenaan, dia berkongsi bersama rakan dan menganggarkan sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan diperlukan bagi tujuan itu.

Ayub yang berniaga tauhu bakar di Kampung Losong, di sini, berkata dia bertuah memiliki isteri yang sentiasa menyokong aktiviti itu dan pernah ‘turun padang’ bersamanya memberi makan kepada haiwan berkenaan.

“Isteri saya seorang penggemar kucing dan sangat menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah saw,” katanya.

Menurutnya, idea melakukan aktiviti itu timbul selepas melihat haiwan berkenaan berkeliaran mencari makan ketika di kedai makan.

“Melihat kucing-kucing itu ‘meminta’ makanan dari meja ke meja, seolah-olah ia seperti merintih meminta makanan setiap pengunjung kedai dan amat menyentuh hati saya.

“Dari situlah timbul idea untuk memberi makan kucing terbiar dan menjadikan kawasan pasar sebagai lokasi memandangkan kawasan itu terdapat banyak kucing terbiar,” katanya.

Dia memilih awal pagi kerana ketika itu haiwan berkenaan keluar mencari makanan. Sudah menjadi sifat kucing berjaga pada waktu malam dan tidur pada siang hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:33 AM