Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 92,678 pasangan di seluruh negara mendaftarkan perceraian masing-masing antara 2012 dan 2014 dan kebanyakan mereka baru berkahwin dalam tempoh kurang lima tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, angka itu dianggap agak membimbangkan kerana statistik menunjukkan peningkatan pendaftaran perceraian berlaku setiap tahun sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rekod sebanyak 29,253 pasangan mendaftar untuk bercerai pada 2012, 29,583 pada 2013 dan meningkat kepada 33,842 pasangan pada 2014.

“Antara punca yang mendorong kepada perceraian adalah masalah seksual seperti khunsa, lesbian, homoseksual atau gay, seks luar tabii dan mengubah suai alat kelamin; masalah sosial, kesihatan, masalah kerjaya, lemah didikan agama termasuk mengamalkan syirik, sihir dan ilmu hitam; faktor ekonomi, campur tangan orang ketika; masalah kerjaya; tidak bertanggungjawab serta masalah komunikasi.

“Dalam tempoh sama, seramai 12,434 pasangan mendaftar untuk rujuk kembali. Jadi, kita tidak boleh membiarkan angka ini terus meningkat dengan mencari jalan penyelesaian dan satu daripadanya adalah melalui Modul Pascaperkahwinan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Modul Pasca Perkahwinan Islam, Seminar Kelestarian Keluarga:Cabaran Pasca Perkahwinan Abad ke-21 dan penghargaan kepada Ahli Panel Isu Semasa Wanita (PISWI) di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha dan Reaktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Pengerusi PISWI Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Asyraf Wajdi berkata, pelancaran Modul Pasca Perkahwinan adalah bagi merealisasikan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam melalui pemantapan kualiti serta integriti setiap individu dalam keluarga.

Menurutnya, modul berkenaan dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu bagi tempoh perkahwinan 0 hingga 5 tahun; Fasa Sehati Sejiwa (6 hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Beliau berkata, pelancaran modul yang dipercayai pertama di dunia ini tepat pada masanya bagi menangani pelbagai isu yang berkaitan kemelut institusi kekeluargaan ketika ini.

“Saya amat teruja dan menyokong penuh usaha JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang membangunkan modul ini kerana kursus praperkahwinan yang diadakan ketika ini tidak mencukupi memandangkan ia tidak menggambarkan realiti sebenar alam perkahwinan.

“Modul ini turut merangkumi pelbagai fasa daripada yang sesuai untuk mereka yang baru berkahwin dan sudah lama berkahwin sebagai pendekatan untuk menangani pelbagai isu yang menjadi punca perceraian terutama dalam kalangan pasangan muda di negara ini.

“Justeru, modul ini boleh dimanfaatkan bagi menangani peningkatan kes perceraian, memandangkan ia satu modul komprehensif yang digubal 30 panel pakar daripada pelbagai bidang termasuk kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengurusan kewangan, psikologi dan pakar agama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memperluaskan kursus pasca perkahwinan untuk kakitangan awam di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan keberkesanan modul ini.

Menurutnya, pelaksanaan kursus ini bukan wajib tetapi secara sukarela supaya ia mencapai objektif memantapkan institusi kekeluargaan.

“Kalau berjaya, ia akan dikembangkan kepada pihak lain termasuk swasta untuk melaksanakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:06 AM