KEADAAN kereta dipandu mangsa.
myMetro

Putrajaya: Seorang wanita cedera ringan apabila kereta Proton Persona yang dipandunya dipercayai terbabas dan terjatuh di laluan terowong Presint 5, menghala ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba Putrajaya Muhamad Hafidz Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi memaklumkan mengenai kejadian itu dan jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dipercayai terbabas dan terjatuh di laluan terowong berkenaan.

“Mangsa dikeluarkan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa hanya mengalami cedera ringan dan masih boleh bergerak serta berkomunikasi dengan baik ketika diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:36 AM