PENGGUNA jalan raya berhenti membeli sandwic dan kopi panas dijual Malfil Aidala dan Rizal.
PENGGUNA jalan raya berhenti membeli sandwic dan kopi panas dijual Malfil Aidala dan Rizal.
Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Kemunculan dua beradik yang menjual sarapan mengenakan kostum adiwira ‘Deadpool’ di tepi jalan di Jalan Sulaman, di sini, pada mulanya mengejutkan orang ramai tetapi strategi mereka membuahkan hasil apabila mendapat perhatian pengguna jalan raya untuk singgah membeli juadah ditawarkan.

Peniaga jalanan, Rizal Aidala, 26, berkata, ilham mengenakan kostum adiwira direalisasikan selepas membaca mengenai peniaga jalanan di Kelantan yang berpakaian Spiderman dan Doraemon bertujuan menarik perhatian orang ramai.

“Syukur, selepas kami mengenakan kostum Deadpool untuk menarik pelanggan perniagaan kami semakin laris.

“Malah ada kalanya kami menutup perniagaan lebih awal apabila semua makanan dan minuman habis dijual dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Rizal berkata, dia menjual sandwich telur dan kopi panas bersama abangnya, Malfil, 28, seawal jam 6.30 pagi.

“Kami menjual sandwich telur pada harga RM1.50 manakala kopi panas berhanya RM1 secawan. Kami menjual sehingga 100 bungkus sandwich dan kopi panas setiap hari.

“Kami menjalankan perniagaan ini dua minggu lalu dan tidak sangka kini viral di laman sosial,” katanya.

Menurut Rizal, perniagaan berkonsepkan ‘street breakfast’ mampu memberi keuntungan setimpal sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

“Tidak dinafikan idea mengenakan kostum adiwira timbul selepas beberapa rakan mencadangkan kami menggunakan pendekatan berbeza selepas tertarik melihat seorang pemuda di Sandakan menjual kopi di tepi jalan,” katanya.

Sementara itu, Malfil berkata, susulan sambutan hangat pelanggan, mereka merancang untuk menambah bilangan adiwira.

“Kami merancang untuk menggilirkan Deadpool dengan Batman pada masa depan. Selain itu, kami juga bercadang untuk mengembangkan perniagaan jalanan ini di beberapa lokasi lain menggunakan konsep sama.

“Pada masa sama, kami memikirkan untuk memberi kopi secara percuma pada setiap Jumaat sebagai menghargai pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 10:43 AM