PESERTA memeluk ahli keluarga yang hadir di Majlis Penutup Latihan Jatidiri bekas penagih dadah.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Langgar sampai mati pejalan kaki. Itu penangan dadah terhadap seorang lelaki juga penghuni rumah Pengasih ketika dia di bawah pengaruh bahan terlarang itu 12 tahun lalu.

Lelaki yang dikenali sebagai Mazalan, 31, berasal dari Bentong, Pahang, berkata, kesan pengambilan dadah sejak berusia 13 tahun menyebabkan dia tidak gentar untuk melakukan perkara jenayah malah tiada perasaan belas kasihan ketika melanggar mangsa sampai mati.

Menceritakan detik hitam itu, anak bongsu daripada 12 adik beradik berkata, dia sudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah sejak zaman sekolah dengan berjinak-jinak dengan ganja bersama rakan seusianya.

“Kejadian berlaku ketika saya berusia 19 tahun apabila keluar dari sebuah kelab di bandar ini dan ketika ingin pulang saya melanggar seorang lelaki yang sedang berjalan dalam keadaan di bawah pengaruh dadah.

“Saya langgar lelaki berkenaan sampai mati namun tiada rasa bersalah pun dan hanya memandang mayat berkenaan seolah-olah saya melanggar binatang saja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Latihan Memperkasakan Jatidiri Ke-26, di sini, semalam.

Mazalan antara 64 penghuni Rumah Pengasih dari seluruh negara yang menyertai program dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu khusus dalam meningkatkan jati diri bekas penagih dadah untuk membina kehidupan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 7:13 AM