MANGSA dibawa ke HKL untuk rawatan.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pekerja pembinaan meraung kesakitan apabila kaki kirinya terkoyak akibat dilanggar jentera pengangkut ‘forklif’.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang semalam, mangsa yang parah di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, di sini, dibantu rakan setugas.

Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bekerja di kawasan pembinaan berkenaan.

“Kami menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa seorang lelaki berusia 28 tahun yang cedera di kaki akibat dilanggar sebuah forklif.

“Empat anggota JPAM bersama sebuah ambulans bergegas ke lokasi. Setibanya di kawasan itu, kami mendapati mangsa sudah dibawa keluar oleh rakannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap mangsa mendapati kaki kiri berhampiran lututnya mengalami luka terbuka sepanjang kira-kira 10 sentimeter selain mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut.

“Mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:52 AM