SEBAHAGIAN ahli ajaran Millah Abraham yang hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur tidak mengaku bersalah atas pelbagai dakwaan.

Kuala Lumpur: Seramai 58 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, atas pelbagai dakwaan, termasuk mengambil bahagian dalam kepercayaan ajaran Millah Abraham.

Kes bermula jam 9.45 pagi dan berakhir hampir jam 1 tengah hari menyaksikan setiap individu dipanggil dan direkodkan pengakuan mereka oleh Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab.

Semua tertuduh termasuk 12 wanita berusia 20 hingga 59 tahun dibenarkan ikat jamin dan mengambil peguam untuk mewakili diri mereka.

Mahkamah menetapkan lima hari bermula 30 Mei depan untuk perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Zainol Rashid Hasin.

Pada 2 Februari lalu, Farzlie Rahmat, 40, Hamatun Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa’amah, 35, didakwa cuba mengajar perkara berhubung dengan agama Islam iaitu berkaitan (surah al-Maidah ayat 3) tanpa tauliah.

Mereka juga didakwa cuba menjelaskan doktrin berhubung agama Islam yang berlawan dengan hukum syarak dengan mencampuradukkan kefahaman kandungan ayat al-Quran dengan Injil.

Bagi dakwaan cuba mengajar, mereka didakwa mengikut Seksyen 11, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum 18 bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Manakala, bagi perbuatan cuba menjelaskan doktrin, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4, akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara maksimum 18 bulan atau sebatan maksimum enam kali, atau mana-mana kombinasi hukuman jika sabit kesalahan.

Tiga lagi tertuduh iaitu Nor Azri Baharudin, 48; Mohd Halimin Mohd Nasir, 40; dan Mohd Agus Abu Samah, 39; dituduh dengan sengaja membantu satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(c), akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau sebat maksimum enam sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman jika disabitkan kesalahan.

Manakala, 52 individu lagi didakwa mengambil bahagian dalam majlis yang diadakan di bilik Sakura, International Youth Centre, Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini, pada 8.32 malam, pada 1 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:56 AM